Sharif Musa Bidas Retorik Lapuk, ‘Sabahan For Sabahan’ Hanya Slogan Kosong
LAHAD DATU, 16 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyifatkan slogan “Sabahan for Sabahan” sebagai retorik lapuk yang sering digunakan setiap kali menjelang pilihan raya, namun tidak membawa sebarang penyelesaian konkrit terhadap permasalahan rakyat Sabah.
Menurut beliau, walaupun slogan tersebut digembar-gemburkan, rakyat Sabah masih merujuk kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan pelbagai isu penting termasuk aspek keselamatan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur asas.
Katanya, kemasukan UMNO ke Sabah dahulu adalah hasil perjuangan pemimpin terdahulu seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang mahukan kestabilan politik dan kemajuan yang mampan untuk negeri ini.
Sharif Musa turut mengingatkan bahawa sejarah adalah guru penting dalam politik dan perlu dijadikan panduan agar Sabah tidak terpesong daripada landasan pembangunan yang betul.
Beliau menyatakan bahawa politik berasaskan kaum yang diamalkan pada masa lalu telah menyebabkan perpecahan dan ketidakstabilan, sekaligus menyukarkan perancangan pembangunan jangka panjang.
Beliau turut mempersoalkan sumbangan seegelintir pihak dalam membangunkan Sabah selain hanya tahu menyalahkan pihak lain termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sharif Musa menegaskan bahawa UMNO Sabah kini merupakan komponen terbesar UMNO di Malaysia dengan keahlian melebihi 600,000 orang.
“UMNO Sabah adalah komponen terbesar dalam UMNO di negara ini, mempunyai 600,000 lebih orang keahlian. Membuktikan bahawa UMNO Sabah semakin mendapat kepercayaan rakyat kerana trek rekod membangunan negeri Sabah.
“’Sabahan for Sabahan’ adalah kempen slogan lapok yang sering diulang-ulang bila menghadapi pilihan raya. Sedangkan pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini adalah hasil dari pentadbiran UMNO termasuk UMS, Mahkamah Negeri, Pan Broneo, Perumahan Pangsapuri, Hopital Besar Lahad Datu, dan pelbagai lagi pembangunan yang telah dicipta untuk dinikmati rakyat Sabah hari ini.”
Tambah beliau, slogan “Sabahan for Sabahan” tidak membawa apa-apa perubahan signifikan kepada rakyat dan hanya digunakan untuk meraih sokongan politik semata-mata.
“Sudah-sudahlah memesongkan pemikiran rakyat Sabah kononnya ‘Sabahan for Sabahan’. Hakikatnya, hari ini segala keperluan asas seperti perumahan rakyat, jalan raya rakyat, elektrik rakyat dan air rakyat tidak dapat diselesaikan tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online