Rakyat Sabah Berhak Nikmati Kemudahan Asas Lebih Baik – Suhaimi
LIBARAN, 16 Mei – Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir tampil mengangkat suara rakyat Sabah yang semakin terhimpit dengan isu kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya yang masih membelenggu negeri itu, meskipun Sabah mencatat hasil balak berbilion ringgit sejak lebih dua dekad lalu.
Dalam satu kenyataan, beliau mempersoalkan bagaimana sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli dan hasil hutan seperti Sabah, masih gagal menyediakan keperluan asas yang stabil kepada rakyatnya.
“Kita dimaklumkan bahawa Sabah telah mencatat kutipan hasil balak sebanyak RM5.3 bilion sejak tahun 1999, purata RM213 juta setahun. Tetapi rakyat masih hidup dalam keadaan ketiadaan air, elektrik yang sering terputus, dan jalan raya yang berlubang,” katanya.
Menurut beliau, isu ini bukan hanya melibatkan kawasan pedalaman, malah turut dirasai di tengah ibu negeri sendiri, Kota Kinabalu, apabila gangguan bekalan air dan elektrik sudah menjadi satu norma harian.
“Tangki simpanan air dan generator elektrik bukan lagi pilihan tambahan, tetapi satu keperluan wajib untuk rakyat biasa,” tambahnya.
Suhaimi turut menyentuh keadaan jalan raya yang rosak teruk di banyak kawasan, termasuk di Libaran, yang jelas menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dalam menunaikan tanggungjawab asas terhadap rakyat.
Beliau mempersoalkan ke mana perginya segala peruntukan dan hasil negeri yang saban tahun diumumkan, termasuk kejayaan pensijilan hutan, pelan karbon dan peruntukan ekologi.
“Rakyat bukan menolak pembangunan, tetapi mereka cuma mahukan hak mereka dikembalikan iaitu hak untuk hidup dengan selesa, berbekalkan kemudahan asas yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan,” tegasnya.
Beliau menekankan bahawa keluhan rakyat tidak harus dipandang sinis atau dianggap sebagai skeptikal.
“Kalau hasil negeri berbilion, kenapa masalah air, elektrik dan jalan raya masih belum selesai?
“Soalan ini bukan untuk menuding jari, tapi untuk menuntut kebertanggungjawaban. Rakyat Sabah berhak menerima lebih baik,” katanya lagi. – UMNO Online