Pengiktirafan Malaysia Book of Records Kejayaan Bermakna Untuk Melaka – Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 16 Mei – EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman melihat Pengiktirafan Malaysia Book of Records terhadap negeri berkenaan bagi kategori ‘Capaian Digital Terbesar Bagi Pelancongan Malaysia di Platform Wechat’ menggunakan duta selebriti merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan.

Bagi beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, ianya merupakan satu sejarah bagi Negeri Melaka yang berusaha untuk meningkatkan lagi indutri pelancongan.

“Hari ini Melaka sekali lagi melakar sejarah baharu apabila secara rasmi menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records  bagi kategori: Largest Digital Hits for Malaysia Toursm on WeChat Platform Using Celebrity Ambassador.”

“Pengiktirafan rekod ini dicapai hasil pelantikan Fan Bingbing, iaitu ikon selebriti antarabangsa dari China sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya menerusi perkongsian di facebook.

Sijil Malaysia Book of Records diserahkan sendiri kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan kepada Jersey Chong, Pengurus Fan Bingbing.

Pada 14 dan 15 Jun 2024, nama “Melaka” dan “Fan Bingbing” mencatat lebih 1 bilion carian digabungkan di platform WeChat China, mengatasi capaian acara mega seperti Shanghai International Film Festival dan Weibo Movie Awards.

Menurut Abdul Razak lagi, jumlah pelancong dari China ke Melaka meningkat daripada 204,818 orang (16.27%) pada Disember 2023 kepada 664,687 orang (22.64%) pada Disember 2024, menunjukkan peningkatan seramai 459,869 orang.

“Ini membuktikan strategi promosi pelancongan melalui tokoh berpengaruh antarabangsa memberi impak luar biasa khususnya di China bagi menembusi pasaran utama pelancong ke Melaka…Mana Lagi? Melaka Ler…,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79