KPT Alu Hasrat MGIMO Luas Kepakaran Bidang ASEAN, Pertukaran Pelajar Dua Negara – Zambry
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan hasrat Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO) untuk memperluaskan kepakaran dalam bidang hal ehwal ASEAN dan meningkatkan program pertukaran pelajar antara dua negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi halaman di laman Facebooknya memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima anugerah doktor kehormat dari MGIMO sempena lawatan kerja ke Moscow.
“Sebelum mengakhiri lawatan kerja di Moscow, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima anugerah doktor kehormat daripada pusat pengajian terkenal di Russia, MGIMO atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat dan mengeratkan kerjasama antarabangsa.
“Ia merupakan pengiktirafan seumpamanya terhadap ketua kerajaan asing daripada institusi yang dihormati dan dipercayai di Persekutuan Russia sejak 1940-an.Di sini juga, Perdana Menteri telah diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia’.
“Beliau menekankan peri pentingnya dialog yang konstruktif dan bermaruah antara peradaban, di samping menekankan bahawa penglibatan sedemikian mesti diasaskan atas pengiktirafan bersama terhadap maruah, kekuatan dan kepelbagaian budaya. Nilai kemanusiaan dan rasa hormat antara satu sama lain adalah sangat penting walaupun kita hidup dalam budaya dan kepercayaan yang berbeza,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, MGIMO telah menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Malaya (UM) dalam konteks pengajian bahasa.
“Dalam pertemuan dengan Rektor MGIMO, Prof Anatoly Torkunov, mereka telah menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaya dan beberapa institusi pengajian tinggi lain di Malaysia terutamanya dalam konteks pengajian bahasa.
“Bagi pihak KPT, kami mengalu-alukan hasrat MGIMO untuk memperluas kepakaran dalam bidang ehwal ASEAN, pertanian serta meningkatkan program pertukaran pelajar antara dua negara.
“Perdana Menteri juga menyatakan Malaysia turut berhasrat menghantar diplomat muda ke MGIMO bagi membantu negara menghasilkan tokoh diplomasi berkaliber di persada antarabangsa,” katanya lagi. – UMNO Online