Johan Turun Padang Santuni Mangsa Ribut, Beri Bantuan
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berbesar hati turun padang meninjau Kampung Batu 15, 16 dan Kampung Kenanga yang mengalami bencana ribut.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga menziarahi penduduk di sekitar kawasan tersebut yang mengalami kerosakan rumah dengan menyampaikan bantuan awal bagi meringankan beban mereka.
“Berkesempatan turun padang untuk meninjau sendiri keadaan bersama pasukan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat yang diketuai oleh Puan Fadlina bagi menyerahkan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas.
“Pejabat ADUN Dusun Tua juga sedang menguruskan penyediaan makan malam kepada semua mangsa yang terlibat bagi meringankan beban mereka dalam tempoh ini.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) akan turut membantu dalam kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok yang tumbang bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan di kawasan yang dikenalpasti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Johan dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada kesemua agensi kerajaan yang telah bertindak pantas membantu sejak awal antaranya Majlis Perbandaran Kajang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bomba, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Beliau juga berharap mangsa ribut untuk bersabar dan tabah mengharungi ujian serta memaklumkan bantuan untuk membaiki kerosakan rumah sedang dilakukan.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan kemudahan buat semua insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online