UMNO Relevan Bagi Setiap Generasi, Ungguli Landskap Politik Semasa
KUALA LUMPUR, 15 Mei – UMNO sebagai parti keramat orang Melayu diyakini masih berupaya untuk terus relevan dalam mendepani dan mengungguli landskap politik masa kini dan masa depan termasuk dalam kalangan generasi muda.
Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Omar berkata, walaupun UMNO merupakan sebuah parti yang sudah lama bertapak, namun ia sentiasa mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dan kehendak masyarakat semasa.
“Walaupun sebuah parti lama namun berjaya menyesuaikan apa-apa keadaan yang boleh diterima keseluruhan masyarakat termasuk generasi Z dan Alpha. Sepanjang 79 tahun sudah tentu pelbagai cabaran, ada suka, duka dan sebagainya. Paling penting UMNO mampu bertahan sebagai sebuah parti politik orang Melayu khususnya dari dahulu sehingga hari ini.
“Percayalah UMNO mampu bangkit menyantuni golongan muda, terus dilihat relevan yang memperjuangkan semua nasib tidak mengira umur. UMNO dilihat sebagai parti ‘pragmatik’, berusaha bersungguh-sungguh serta merupakan ‘jurutera’ pada perkongsian dan rundingan kuasa yang ada.
“Semuanya itu memperlihatkan peranan parti ini dalam bentuk kongsi kuasa dan ia memainkan peranan yang penting untuk sama-sama mewujudkan kestabilan, tidak mengira bangsa. Inilah peranan yang maha besar dimainkan oleh UMNO. Apatah lagi 79 tahun ini sudah dewasa ini mematangkan pemikiran pemimpin-pemimpin dan dapat mendepani segala masalah negara, antarabangsa sama ada dalaman atau pun luaran,’ katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Amiruddin harap ahli-ahli UMNO perlu fokus,jangan ada ‘cah keting’ dalaman parti.
“No more’ untuk ‘argue’ sesiapa sekiranya tidak menyetujui kepimpinan parti di mana peringkat. UMNO berdepan masalah besar iaitu menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke -16. Ahli UMNO perlu berada dalam satu kesatuan yang solid, kukuh dan kuat. Kita harus patuh, taat apa jua keputusan yang dibuat oleh Presiden serta majlis tertinggi UMNO.
“Tujuannya adalah agar semua ahli parti berada di bawah satu saf kepimpinan untuk memastikan UMNO ini mampu berdepan dengan pilihan raya akan datang ini,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, bersempena ulang tahun UMNO ke-79, semua ahli arti diseru agar berlapang dada dan berusaha habis-habisan demi memperkukuhkan parti dan menyelesaikan permasalan rakyat di kawasan masing-masing.
“Dalam UMNO ke-79 tahun, agar semua ahli parti berlapang dada, berusaha habis-habisan dan sebagai solusi masalah kepada tempat masing-masing.
“Pemimpin UMNO sebagai penyelesai masalah, ahli-ahli parti (berperanan) sebagai menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi rakyat. Mudah-mudahan UMNO terus bangkit dan menjadi tulang belakang kepada tonggak kekuatan pentadbiran dalam negara,” ujarnya.
Pada masa yang sama beliau, UMNO terus komited dalam usaha meremajakan parti dengan mewujudkan Sekolah Patriotik sebagai platform membentuk pelapis dalam kalangan generasi muda.
“Penglibatan Sekolah Patriotik ini meningkat sedikit demi sedikit dan inilah hasil yang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diamanahkan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dapat direalisasikan harapan Presiden iaitu bergerak ke arah meremajakan parti.
“UMNO telah mewujudkan Sekolah Patriotik dan telah melaksanakan konvokesyen pertama yang seramai 48 anak muda. Parti ini menyediakan pemimpin-pemimpin pelapis baharu untuk terus menyubur dan meremajakan dengan bakat-bakat pemimpin yang baharu.
“Sudah tentu graduasi Sekolah Patriotik ini dapat mendekati golongan-golongan muda dan sebaya dengan mereka,” ujarnya lagi. – UMNO Online