UMNO Konsisten Jadi Benteng Melayu/Islam Dalam Arus Politik – Ridhwan Ali
KUALA LUMPUR, 15 Mei – UMNO perlu terus berperanan besar dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam secara tegas dan konsisten, kata Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Menurut beliau, UMNO akan terus dilihat sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara sekiranya tetap dengan pendirian yang jelas dalam menangani cabaran semasa politik negara.
“Saya yakin dalam apa jua keadaan dan suasana politik hari ini melihat UMNO konsisten dan tegas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara dan parti ini akan dilihat sebagai pejuang untuk orang Melayu.
“UMNO terus menyakinkan terutamanya orang Melayu/Islam untuk terus bersama-sama dengan parti dan menongkah arus permodenan serta perubahan yang berlaku hari ini. Dengan adanya banyak kepimpinan UMNO yang baharu dan lama dan terus berdaya saing, segar dalam perjuangan dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
“Apa yang dilakukan oleh UMNO pada kali ini, insya-Allah… sokongan akan terus meningkat pada perjuangan ini serta parti akan kembali dominan dan menjadi tulang belakang pada kerajaan yang bakal memimpin suatu hari nanti,” katanya kepada UMNO Online.
Katanya lagi, jatuh bangun UMNO merupakan satu sejarah dan perjalanan penting yang memberi makna besar kepada orang Melayu dan Islam di negara ini.
Pada masa sama kata Ridhwan lagi, Sekolah Patriotik UMNO dilihat sebagai platform penting dalam melahirkan pelapis baharu yang akan meneruskan perjuangan parti di masa hadapan.
“Ramai anak-anak muda yang berminat menyertai Sekolah Patriotik UMNO untuk terus memahami dan mendalami perjuangan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin UMNO dari dahulu hingga kini.
“Pendekatan sebegini mampu memupuk semangat cintakan negara dan kesetiaan kepada parti dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan matlamat memperkukuhkan UMNO di peringkat akar umbi,” ujarnya. – UMNO Online