Pembangunan Infrastruktur Di Selandar Beri Manfaat Besar Kepada Komuniti
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan hari ini berkesempatan turun padang untuk meninjau beberapa projek pembangunan penting di kawasan Selandar.
Menurut Fairul Nizam, lawatan itu turut disertai oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selandar, ahli Majlis serta Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
“Terima kasih atas komitmen semua pihak dalam memastikan projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat.
“Semoga segala perancangan ini dipermudahkan dan dapat memberi manfaat besar kepada seluruh komuniti di Selandar,” kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu lagi dalam satu catatan di laman Facebook.
Antara yang dilawati adalah pembinaan masjid baharu Kampung Selandar, pembesaran bulatan jalan raya (roundabout) dan pelebaran jalan.
Jelasnya, pembinaan masjid baharu Kampung Selandar yang dijangka siap pada Januari tahun hadapan bakal menjadi mercu tanda baharu kepada penduduk setempat serta menjadi pusat ibadah dan komuniti yang lebih selesa.
Tambah Fairul Nizam atau lebih dikenali sebagai Along, kerja-kerja pembesaran ‘roundabout’ Selandar bagi melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Begitu juga cadangan melebarkan jalan dari Klinik Selandar ke Sekolah Menengah Agama As Syakirin adalah demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan, terutama pelajar dan ibu bapa.
Turut dilawati cadangan pembinaan ruang menunggu kenderaan ibu bapa di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar (berhampiran Pejabat UMNO) bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan kelancaran urusan semasa waktu puncak persekolahan.
Terdahulu, di dalam laman sosialnya yang sama, Fairul Nizam mengucapkan tahniah kepada Elrick Roslee, anak muda Orang Asli dari Bukit Seraya, Selandar, DUN Asahan yang telah mengharumkan nama negeri dan negara dalam arena olahraga antarabangsa.
Elrick berjaya merangkul pingat emas dalam acara rejam lembing lelaki di Kejohanan The ICTSI Philippine Athletics 2025 yang berlangsung di Stadium New Clark City, Filipina pada 2 hingga 4 Mei lalu dan lebih membanggakan turut memecahkan rekod peribadi dengan lontaran sejauh 63.45 meter.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian Elrick yang menjadi bukti bahawa disiplin, kesungguhan dan cita-cita tinggi mampu membawa seseorang melangkaui batasan dan mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan komuniti Orang Asli, tetapi juga seluruh warga Melaka.
“Teruskan melakar sejarah, Elrick. Anda kebanggaan DUN Asahan dan inspirasi kepada seluruh anak muda luar bandar,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada barisan jurulatih.
Menurut Fairul Nizam, Elrick merupakan bekas pelajar SMK Seri Pengkalan dan kini sedang melanjutkan pengajian di tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Taman dan Rekreasi di bawah Fakulti Sains Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Katanya, Elrick juga merupakan atlet dari Pusat Latihan Daerah (PLD) Alor Gajah dan kini sedang giat menjalani persiapan untuk Kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung Jun ini, dengan sasaran baharu sejauh 66 meter sebagai langkah penting ke arah kelayakan Sukan SEA ke-33 di Bangkok, Thailand hujung tahun ini. – UMNO ONLINE