HBN 2025: Kerajaan Madani Rangka Pelbagai Inisiatif, Perkasa Belia – Azalina

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kerajaan Madani telah merangka pelbagai inisiatif untuk memperkasa golongan belia bagi menjadikan mereka sebagai legasi penerus kegemilangan tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi hantaran di laman Facebooknya mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Negara (HBN) yang disambut pada hari ini.

“Selamat Menyambut HBN! Kekuatan dan keupayaan sesebuah negara itu semestinya terletak kepada generasi muda atau belianya.

“Justeru, menyedari hakikat ini, Kerajaan Madani telah merangka pelbagai inisiatif pemerkasaan golongan belia untuk mempersiapkan mereka sebagai generasi penerus kegemilangan tanah air tercinta ini,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu lagi.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan kerajaan sentiasa komited untuk memastikan golongan muda diberikan ruang membina negara.

“Kerajaan, melalui segmen Undang-Undang Reformasi Institusi juga komited untuk memastikan setiap anak muda diberikan ruang, keadilan dan peluang saksama untuk membina Malaysia yang lebih telus, adil serta berintegriti.

“Sekali lagi buat semua anak muda Malaysia, saya ucapkan Selamat HBN 2025. Yakin boleh! Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan HBN yang disambut setiap 15 Mei merupakan manifestasi penghargaan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan besar golongan belia dalam pembangunan negara.

Beliau yang juga Presiden UMNO percaya generasi muda hari ini semakin matang, berilmu dan tinggi daya fikir dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks dan mencabar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79