UMNO Ke-79: Puteri Berani Depani Realiti Baharu, Posisi Diri Pemangkin Kebangkitan Parti
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Menginjak ke-79 tahun UMNO ditubuhkan, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Mohd Shafiee berpandangan sayap Puteri perlu berani mendepani realiti baharu serta memposisikan diri sebagai pemangkin kebangkitan parti.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata ini kerana ia sebagai persiapan dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar.
“UMNO yang kini memasuki usia 79 tahun telah melalui pelbagai fasa perjuangan – dari kegemilangan hingga badai cabaran, dan kini meneruskan usaha membina semula kekuatan.
“Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang memandang serius soal kelangsungan kepimpinan di peringkat Puteri.
“Dalam tempoh masa yang singkat, ditambah pula dengan realiti wanita muda hari ini yang terikat dengan komitmen membina kerjaya dan keluarga, agenda memperkukuh pelapis kepimpinan memerlukan perhatian dan tindakan segera.
“Kejayaan jangka panjang parti bergantung pada sejauh mana kita mampu memperkasa Puteri dengan peluang, ruang dan sokongan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ameera dalam pada itu berkata kepimpinan UMNO juga perlu lebih terbuka dalam menerima pandangan dan harapan daripada akar umbi, khususnya dalam kalangan Puteri.
Menurut beliau ini kerana suara dan aspirasi sayap muda dalam parti perlu diraikan kerana ia letaknya denyut nadi masa depan parti, yang bakal meneruskan legasi perjuangan parti dalam acuan zaman mereka sendiri.
“Semoga ulang tahun UMNO ke-79 ini menjadi titik tolak untuk seluruh jentera parti dari pucuk pimpinan hinggalah ke peringkat akar umbi memperteguh semangat juang, memperbaiki kelemahan dan melakar masa depan yang lebih gemilang untuk agama, bangsa dan tanah air tercinta,” ujar beliau. – UMNO Online