Keselarasan Kemasukan SBP, MRSM Bawa Impak Positif – Nor Akmal

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nor Akmal Muhammad berpandangan bahawa kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme sistem kemasukan para pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) secara berpusat dan mandatori.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai menerusi satu kenyataan bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan perkara tersebut mulai Januari 2026.

“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk melaksanakan penyelarasan sistem kemasukan pelajar-pelajar SBP dan MRSM bermula Januari tahun 2026 amat disokong serta harus diterima baik oleh semua rakyat.

“Ia juga bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memperkasa dan melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berintelektual… seiring dengan hala tuju pembangunan ekonomi Malaysia yang mampan dan menjadi antara pemain utama industri-industri dunia seperti industri kecerdasan buatan (AI), teknologi awam, kesihatan, e-dagang dan lain-lain.

“Seperti yang kita ketahui, kedua-dua institusi pendidikan ini adalah diselaras oleh entiti yang berbeza iaitu SBP oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MRSM oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA)… dengan menyediakan platform pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya menjadi aset terpenting kepada pembangunan negara secara holistik,” katanya.

Ujarnya, memang terdapat perbezaan dalam pemilihan kemasukan pelajar untuk kedua-dua institusi tersebut dan ia perlu ditangani dengan tuntas.

“Pada masa ini, sememangnya ada perbezaan untuk SBP dan MRSM dari sudut fokus kokurikulum, pemilihan pelajar, kaedah pembelajaran dan juga syarat kemasukan. Mengambil contoh mudah, MRSM lebih fokus kepada pelajar-pelajar bumiputera yang cemerlang dalam Sains dan Matematik tetapi SBP memberi keutamaan kepada pelajar cemerlang dalam akademik serta kokurikulum.

“Syarat kemasukan juga ada perbezaannya iaitu MRSM menggunakan kaedah Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) tetapi SBP menggunapakai kaedah keputusan pencapaian cemerlang peperiksaan seperti di sekolah-sekolah kebangsaan harian.

“Begitu juga dari aspek metodologi pembelajaran. MRSM lebih berorientasikan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Bahkan MRSM menawarkan program khas seperti International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), program premier, Ulul Albab, Bitara dan teknikal. Manakala SBP menggunakan pendekatan pembelajaran kurikulum kebangsaan (KSSM),” katanya lagi.

Menurutnya, rata-rata ibu bapa akan lebih cenderung memilih SBP berbanding MRSM di atas beberapa faktor tertentu.

“Isu yang sekian lama tidak diatasi secara tuntas adalah berlakunya penolakan tawaran kemasukan ke MRSM setelah para pelajar cemerlang ini mendapat tawaran kemasukan ke SBP. Kita akui, daripada aspek keputusan peperiksaan atau Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi asas kepada kedudukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), para pelajar SBP berada di kedudukan paling baik berbanding MRSM.

“Tetapi kita semua perlu ingat dan berfikiran rasional… adakah kedudukan pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata dapat memenuhi perancangan strategik pembangunan negara hari ini? Jika diamati dan memahami indeks pencapaian ekonomi dunia, sudah pasti kemahiran teknikal serta kemajuan teknologi mendasari kelestarian ekonomi sesebuah negara.

“Dunia tanpa sempadan atau globalisasi ekonomi dunia memerlukan sumber manusia berteraskan kemahiran teknologi yang tinggi dan kemahiran teknikal dalam semua industri penting negara di dunia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar penyelarasan kemasukan kedua-kedua institusi pendidikan tersebut dapat dilaksanakan dengan segera untuk mengelakkan berlakunya ketidakseimbangan dan ketirisan dalam pengisian tenaga kerja yang berkualiti.

“Kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme sistem kemasukan ke SBP dan MRSM secara berpusat serta mandatori… berpandukan kepada permintaan industri, minat dan kecenderungan pelajar serta kemampuan SBP dan MRSM mengisi permohonan di kalangan pelajar-pelajar cemerlang ini.

“Dengan mengadakan satu garis panduan dan mekanisme yang realistik berdasarkan permintaan serta daya saing ekonomi semasa dan masa akan datang ia akan memberi lebih manfaat kepada negara.

“Saya yakin dan percaya, sekiranya sistem penyelarasan kemasukan ke SBP dan MRSM ini dilaksanakan, sudah pasti modal insan yang dilahirkan akan membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi serta sosial negara. Ini untuk mengelakkan berlakunya kekurangan tenaga mahir tempatan dan pembaziran peruntukan dalam sektor pendidikan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79