Kerjasama BN-PH: Kerajaan Perpaduan Selari Perjuangan Asal UMNO – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah bersyarat dan selari dengan perjuangan asal UMNO iaitu menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, tuduhan bahawa UMNO sudah lari dari perjuangan asal adalah tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan kononnya UMNO kini sudah lari dari perjuangan membela kepentingan orang Melayu adalah tidak berasas dan berlandaskan fakta sebenar. Mereka menuduh sedemikian hanyalah kerana UMNO bekerjasama dengan PH yang Dap ada di dalamnya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Sedangkan kerjasama tersebut adalah secara bersyarat bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk mestilah selari dengan perjuangan asal UMNO iaitu menjaga kepentingan orang dan bahasa Melayu, agama Islam serta Raja-Raja Melayu.

“Sejak awal penubuhannya, UMNO sentiasa berpegang teguh kepada perjuangan mempertahankan hak bangsa Melayu, agama Islam, kedaulatan raja dan negara dengan mendokong teguh Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, segala dasar dan langkah diambil UMNO ketika berkuasa adalah bukti komitmen terhadap kepercayaan yang telah diberikan rakyat.

“Semasa UMNO/BN berkuasa dulu, banyak dasar dan langkah yang diambil oleh UMNO termasuk memperkasakan ekonomi bumiputera, memperkukuh institusi Islam, membangunkan prasarana negara di samping memastikan kestabilan serta keamanan negara.

“Ini semua adalah bukti komitmen UMNO terhadap kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. Selain itu, UMNO juga sentiasa berusaha merapatkan hubungan kaum dan memupuk perpaduan nasional, sejajar dengan mandat perjuangan bangsa serta agama.

“Tuduhan sebegini hanyalah usaha pihak-pihak tertentu untuk menjejaskan reputasi dan perjuangan UMNO yang kelihatan mulai bangkit dari kekalahan pada PRU ke-13 dan 14 lalu akibat fitnah serta janji melampau ditabur oleh pihak pembangkang pada masa itu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO masih meneruskan perjuangannya membela agama, bangsa dan tanah air dengan pelbagai inisiatif meskipun bersama dengan Kerajaan Perpaduan.

“Sesungguhnya saya yakin rakyat Malaysia sentiasa melihat dan menilai sendiri kesungguhan UMNO dalam memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama secara ikhlas serta berterusan walaupun dalam keterbatasan.

“Melalui tujuh orang Menteri Kabinet yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan ini, pelbagai kejayaan telah dicapai antaranya memperkasakan program TVET, huffaz di peringkat kanak-kanak tabika, pembiayaan pelajar di bawah MARA di dalam dan luar negara, pembelaan kepada Negara Palestin, menarik pelaburan asing melalui perancangan strategik dan banyak lagi yang tidak dapat disebut di ruang terbatas ini.

“Dalam masa yang sama tiada satu pun program yang dirancang dan dilaksanakan ini mendapat bantahan dari Dap sehingga menggagalkan matlamat perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79