Gerak Kerja Berterusan Agensi Mampu Bentuk Masa Depan Pengangkutan Awam Lebih Efisien – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa dengan gerak kerja berterusan agensi dan pemegang taruh, ia mampu membentuk masa depan pengangkutan awam yang lebih efisien.

Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah menerima kunjungan hormat Presiden Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah di Putrajaya.

“Saya sentiasa percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa.

“Namun, kadar penggunaan pengangkutan awam di negara kita masih rendah, sekitar 25 peratus, jauh berbeza berbanding Singapura (67 peratus), Tokyo (73 peratus) dan Seoul (63 peratus).

“Perubahan ini memerlukan anjakan sikap yang hanya boleh dicapai melalui gabungan antara sistem boleh dipercayai dan kempen kesedaran menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, Malaysia turut berdepan realiti kepadartan kenderaan yang melebihi jumlah penduduk negara dan ia didorong oleh jumlah jualan kenderaan baharu (TIV).

“Kita juga berdepan realiti kepadatan kenderaan di dalam negara. Sehingga hujung 2024, terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar di Malaysia bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.

“Ini melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta, dan angka ini terus meningkat, didorong oleh jumlah TIV yang mencecah 816,747 unit – tertinggi dalam sejarah negara. Tren ini bukan sahaja membebankan infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat.

“Saya yakin dengan gerak kerja berterusan oleh agensi seperti Prasarana dan semua pemegang taruh kita mampu membentuk masa depan pengangkutan awam negara yang lebih mesra rakyat, lestari dan efisien. Insya-Allah, kita akan keluar daripada belenggu kesesakan dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79