UMNO 79 Tahun: Tempoh Panjang Sarat Dengan Keberanian, Kebijaksanaan Dan Pengorbanan

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Bersempena ulang tahun UMNO ke-79 yang disambut 11 Mei saban tahun, Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman menyifatkan ia sebagai tempoh yang bukan sekadar panjang tetapi sarat dengan keberanian, kebijaksanaan dan pengorbanan.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa berkata dalam landskap politik yang semakin kompleks dan tuntutan generasi muda yang semakin tinggi, Puteri adalah ruang strategik untuk parti mengekalkan kesinambungan, menyampaikan mesej dan memperkukuh akar.

“Puteri UMNO bukan lagi sekadar sayap, tetapi satu kekuatan yang wajar diperakui dalam membina masa depan parti.

“Dalam dunia politik yang semakin mencabar, di saat ramai anak muda diuji dengan tekanan hidup dan kegoyahan kepercayaan terhadap institusi, Puteri tampil sebagai suara yang memahami denyut sebenar generasi hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut Hasyyati berkata besar harapannya sebagai wanita muda parti untuk melihat keberanian UMNO yang lebih terbuka.

Beliau berkata ini termasuk menerima aspirasi yang lahir daripada bawah termasuk usaha- usaha membawa perubahan yang bukan semata-mata demi kelangsungan tetapi kebangkitan yang lebih bermakna.

“Setiap cadangan yang kami bawa lahir daripada pengalaman sebenar di bawah. Ia bukan retorik. Ia adalah suara mereka yang mahu terus setia, tetapi perlukan saluran dan kepercayaan. Kami juga percaya; jika pohon ingin terus teguh berdiri, akarnya perlu dipelihara, pucuk mudanya mesti dibaja.

“Kepada seluruh ahli dan pimpinan UMNO, terima kasih atas segala kesetiaan dan jasa yang telah membina parti ini. Kami di Puteri, insya-Allah, akan terus mara dengan akal, terus bersemangat dan meneruskan perjuangan bersama hati. Membina UMNO yang segar, berani dan terus relevan untuk generasi yang akan dating,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79