TVET Jadi Kunci Generasi Muda Hadapi Cabaran Masa Depan – Ariff Majid
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid menjelaskan beberapa perkara penting berkaitan usaha parti itu untuk memperkukuh kedudukan masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Menurutnya, salah satu tumpuan utama ialah memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memastikan generasi muda Melayu dan Bumiputera mampu bertahan dalam cabaran masa hadapan.
Katanya, langkah ini penting untuk melahirkan generasi yang kalis cabaran, khususnya dari segi peluang pekerjaan yang semakin mencabar.
“TVET diperkasa supaya generasi muda Melayu dan Bumiputera boleh ‘survive’ dalam cabaran realiti hidup masa hadapan. Lahirkan generasi kalis (cabaran) masa depan dari segi pekerjaan dan pengunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengantikan guna tenaga manusia dalam pelbagai bidang.
“Pemerkasaan syiar Islam dengan tumpuan dalam bidang tahfiz, menerusi agensi bumiputera termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (Ulul Albab), kewajipan mencari makanan dan perkhidmatan yang halal menerusi Pemerkasaan Hub Halal dan Perbankan Islam untuk mengelakkan unsur riba.
“Semua usaha ini merupakan perjuangan UMNO dalam kerajaan demi memperkukuh kedudukan masyarakat Melayu dan Bumiputera selain memastikan mereka mampu bersaing di peringkat nasional dan global,” katanya kepada UMNO Online.
Seterusnya kata Arrif lagi, peranan TVET dapat membentuk masa depan negara dengan melahirkan anak-anak muda berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat negara mahu pun global.
“Anak-anak muda yang menguasai kemahiran teknikal mempunyai peluang cerah untuk bekerja di dalam (negara) malah di peringkat antarabangsa dan ada yang mampu menjadi usahawan berjaya.
“Dengan sokongan padu daripada kerajaan, industri dan masyarakat, TVET mampu menjadi pemacu utama pembangunan negara serta menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” ujarnya. – UMNO Online