Suarakan Pandangan Politik Secara Berhemah, Tertib – Syed Hussien

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Hussien Syed Abdullah berharap kepimpinan parti politik di negeri Johor untuk rasional dalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota malah berkata sebarang  pendapat perlu disuara secara berhemah demi menjaga keharmonian dalam berpolitik.

“Saya menyeru agar semua pemimpin parti dalam negeri Johor bersikap matang, berdisiplin dan menjauhkan diri daripada mengeluarkan kenyataan bersifat populis yang hanya menguntungkan segelintir pihak tetapi merugikan rakyat seluruhnya.

“Jika ada pandangan atau hasrat politik, salurkanlah melalui saluran kepimpinan parti secara tertib dan berhemah. Parti politik bukan sekadar wadah perebutan kerusi, tetapi institusi yang bertanggungjawab membela rakyat dan memacu pembangunan negeri.

“Mari kita utamakan kestabilan dan keberhasilan. Rakyat menilai bukan sekadar apa yang kita katakan, tetapi apa yang kita laksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dalam pada itu berkata fokus utama Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika ini adalah untuk memacu pembangunan yang menyeluruh dan inklusif demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, pergerakan secara agresif setiap dasar dan inisiatif yang menitikberatkan kepentingan rakyat, khususnya dalam aspek perumahan, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan peluang ekonomi.

“Menteri Besar Johor sedang menunjukkan prestasi cemerlang dan meraih kepercayaan rakyat serta pelabur.”

Beliau juga memberikan fakta dan data menunjukkan kejayaan pentadbiran negeri Johor iaitu:

1. Jumlah pelaburan mencecah RM162.2 bilion dalam tempoh 3 tahun, menghasilkan lebih 55,000 peluang pekerjaan.
2. Hasil negeri tertinggi dalam sejarah: RM2.1 bilion pada tahun 2024.
3. Lebih 16,000 unit Rumah Mampu Milik Johor siap dibina sejak 2022.
4. Pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan dan pembangunan SDE giat dijalankan.
5. Projek Tebatan Banjir dipercepatkan ke tahun 2027 demi keselamatan rakyat.
6. Masalah miskin tegar berjaya disifarkan.
7. ⁠Pelaburan suku pertama 2025 telah mencecah RM23 bilion, petunjuk jelas Johor berada di landasan menuju status negeri maju. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79