Persidangan Cawangan Jadi Bukti UMNO Bangkit, Kembali Di Hati Rakyat – Mohd Rafi

LABUAN, 13 Mei — UMNO semakin mendapat tempat di hati rakyat, khususnya di Labuan, apabila sambutan luar biasa diterima dalam mesyuarat-mesyuarat cawangan baru-baru ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, kebangkitan semula sokongan rakyat sejak dua tahun kebelakangan ini menjadi satu isyarat jelas bahawa UMNO sedang mengukuhkan kembali kedudukannya di kalangan masyarakat, termasuk generasi muda.

“Meskipun kita pernah berdepan kekalahan dalam PRU-15, semangat perjuangan tidak pernah luntur. Hari ini, kita dapat lihat sendiri kehadiran ahli-ahli UMNO yang sangat memberangsangkan dalam setiap mesyuarat cawangan. Ini menunjukkan bahawa rakyat semakin yakin dengan UMNO,” kata beliau.

Maklumnya, persidangan melibatkan 14 cawangan termasuk Kerupang, Lajau, Tanjung Aru, Negalang, Pantai, dan beberapa lagi, telah berjaya dilaksanakan dengan sokongan penuh kepimpinan bahagian empat peringkat serta sayap-sayap parti.

Mohd Rafi yang jug Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Labuan, termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Bashir Alias dan Naib Ketua Bahagian, Datuk Khalid Abd Ghani atas komitmen dan kehadiran mereka di peringkat akar umbi.

Ujarnya, kebangkitan semula UMNO di Labuan dilihat sebagai petunjuk kepada lonjakan semangat dan keyakinan baharu rakyat terhadap parti itu, menjelang persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

“UMNO adalah parti keramat yang akan terus menjadi payung dan harapan kepada rakyat. Ayuh, kita terus mara bersama demi masa depan yang lebih gemilang.”

Persidangan UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 7 April hingga 25 Mei ini dan bakal diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.

Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79