Lawatan Kerja: MINDEF Komited Tingkat Keupayaan Pertahanan Negara
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara bagi mendepani segala cabaran dan ancaman, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah mengadakan lawatan industri di fasiliti syarikat pertahanan Republik Itali, Leonardo S.p.A. di Turin.
“Dalam lawatan kerja ke Turin, saya telah melawat industri di fasiliti syarikat pertahanan Republik Itali, Leonardo S.p.A. di sini. Syarikat Leonardo diketuai oleh Stefano Bortoli, Pengarah Urusan Aeronautics Division.
“Saya telah diberikan taklimat berkenaan kemajuan pembinaan dua buah Maritime Patrol Aircraft (MPA) P-72M (Fasa 1) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Program Kolaborasi Industri (ICP) yang sedang berjalan bersama Malaysia.
“Taklimat disusuli tinjauan kemajuan pembinaan yang diperoleh kerajaan pada tahun 2023 daripada Leonardo dengan harga sekitar RM900 juta untuk dua buah pesawat. Pembinaannya berjalan mengikut jadual dan kemajuannya telah melebihi 60 peratus,” katanya.
Ujarnya, perolehan MPA tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).
“Perolehan MPA ini merupakan sebahagian perancangan perolehan yang telah digariskan dalam CAP 55 dengan sejumlah enam buah pesawat dirancang untuk diperoleh secara berfasa.
“Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia sememangnya memerlukan MPA. Selain melaksanakan misi seperti ‘Anti-Surface Warfare’ dan ‘Anti-Submarine Warfare’, ia digunakan untuk pengawasan zon maritim negara yang cukup luas.
“MINDEF komited untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara dalam mendepani ancaman dan cabaran pertahanan yang semakin kompleks serta pelbagai. Ini termasuklah melalui perolehan aset seperti MPA P-72M bagi kegunaan TUDM,” katanya lagi. – UMNO Online