Kemalangan Tragis: Azalina Ucap Takziah kepada Keluarga Anggota FRU Terbunuh

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi merangkap Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa sedih dan dukacita atas kejadian kemalangan tragis yang meragut nyawa beberapa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) hari ini.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, Azalina berkata berita mengenai nahas yang berlaku di Teluk Intan, Perak itu amat memilukan dan menyayat hati.

“Salam takziah saya ucapkan buat ahli keluarga semua anggota FRU yang telah terkorban akibat nahas yang amat menyedihkan ini. Saya mendoakan agar ahli keluarga, saudara mara dan kenalan mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi masa yang amat sukar ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa penghargaan atas jasa dan pengorbanan para anggota yang terkorban, menyifatkan mereka sebagai wira negara yang akan sentiasa dikenang.

“Pastinya, kehilangan wira-wira negara ini turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Segala khidmat, jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa terpahat dalam ingatan kita dan dikenang buat selama-lamanya,” tambahnya.

Azalina turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Dilaporkan, pagi tadi kemalangan berlaku mengakibatkan sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut selepas kenderaan mereka dirempuh lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini.

Kemalangan sama turut mengakibatkan sembilan lagi anggota FRU cedera dan kini dirawat di Hospital Teluk Intan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79