Hari UMNO ke-79: Semoga UMNO Kekal, Kembali Kuat – Rozabil
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berharap agar UMNO terus kekal bertapak dalam arena politik tanah air dan kembali kuat seperti zaman kegemilangannya dahulu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, UMNO banyak berjasa kepada rakyat sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946 dan usaha untuk memperkukuhkan parti perlu sentiasa dilakukan agar kembali mengemudi kerajaan.
“Sudah tentu sebagai ahli parti, saya cukup bangga dengan Ulang Tahun UMNO yang ke-79. Kita merupakan sebuah parti yang cukup lama bertapak di negara ini dan telah banyak berjasa kepada rakyat
“Ucapan Presiden pada Ahad cukup memberi kesedaran tentang bagaimana untuk kita memperkuatkan dan merapatkan barisan supaya kembali menjadi tulang belakang kepada kerajaan serta membantu rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, beliau mempunyai keyakinan bahawa graduan dari Sekolah Patriotik kumpulan pertama (Patriot 1) mampu menjadi pemimpin parti yang berkualiti pada masa akan datang.
“Saya bangga dengan anak-anak muda kumpulan pertama, Patriot 1 untuk Sekolah Patriotik UMNO ini. Melihat kepada semangat mereka saya percaya, mereka ini akan menjadi pemimpin masa depan parti yang berkualiti.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wan Rosdy yang merealisasikan Sekolah Patriotik UMNO ini. Mudah-mudahan kita dapat melahirkan lebih ramai pemimpin untuk masa depan parti,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO adalah satu-satunya parti yang sentiasa menjaga kebajikan orang Melayu dan juga rakyat secara keseluruhannya.
“Ucapan saya kepada seluruh ahli UMNO sempena Ulang Tahun ke-79… bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana parti ini masih boleh bertapak di negara ini. Inilah perjuangan kita dari dulu untuk membantu dan juga memastikan negara ini dapat dijaga dengan baik.
“Satu perkara yang harus kita ingat, inilah satu-satunya parti yang sentiasa menjaga kebajikan orang Melayu terutamanya dan juga seluruh rakyat di negara ini. Harapan saya, bukan hanya 79 tahun… mudah-mudahan UMNO dapat berkekalan sampai bila-bila dan menjadi sebuah parti yang kuat seperti dulu kala,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO telah menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei 2025 setelah ditubuhkan pada tahun 1946.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO melibatkan 48 orang pelajar. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman