Ahli UMNO Perlu Kekal Setia Dan Kukuhkan Perjuangan Parti – Fikhran Hamsi
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Exco Pemuda UMNO, Fikhran Hamsi Mohamad Fatmi menyeru seluruh ahli UMNO untuk terus kekal setia dan berpegang teguh kepada asas perjuangan parti dalam menghadapi pelbagai cabaran politik termasuk perubahan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menurut beliau, UMNO tetap relevan dalam landskap politik negara dan kini merupakan sebahagian tunjang daripada Kerajaan Malaysia.
“Ini menunjukkan bahawa UMNO terus diberi kepercayaan untuk membawa suara rakyat dan mengangkat agenda nasional. Selama 79 tahun, UMNO kekal sebagai benteng utama dalam memperjuangkan (ABATA) agama, bangsa, dan tanah air.
“Sejarah perjuangan ini membuktikan komitmen parti dalam mempertahankan kedudukan Islam, hak-hak orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta kestabilan negara secara keseluruhannya.
“Saya berharap semua ahli UMNO terus bersatu dan memainkan peranan masing-masing dalam meneruskan perjuangan demi kelangsungan dan kekuatan parti yang kita cintai ini, selamat menyambut Ulang Tahun UMNO yang ke-79,” katanya kepada UMNO Online.
Fikhran yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata 11 Mei ini juga menyaksikan satu detik bersejarah iaitu majlis graduasi pertama Sekolah Patriotik UMNO Patriot Satu.
“Graduasi Patriot Satu (1) yang dijalankan serentak dengan sambutan hari Ulang Tahun UMNO ke -79 tahun ini juga membuktikan kesungguhan parti dalam membina barisan pelapis yang berwibawa.
“Inisiatif ini memberi ruang kepada anak muda untuk memahami dan mendalami idealisme perjuangan UMNO, seterusnya menyambung legasi sebagai pemimpin masa depan yang berwawasan dan berintegriti,” jelasnya.
Pada masa sama kata Fikhran lagi, UMNO juga komited dalam memperkasakan agenda bumiputera melalui pelbagai program termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kepimpinan Presiden UMNO yang juga merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara.
“Pelbagai inisiatif yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pegerusi TVET Negara melalui inisiatif pendidikan seperti penubuhan MRSM Ulul Albab dan KEMAS Tahfiz.
“UMNO juga turut memperkukuh agenda tersebut demi memperkasakan pendidikan Islam dan pembangunan modal insan,” ujarnya. – UMNO Online