Sekolah Patriotik UMNO Mampu Bawa Parti Maju Ke Hadapan – Nur Izati

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sekolah Patriotik UMNO dilihat mampu untuk membawa parti maju ke hadapan, kata Pelajar Terbaik Sekolah Patriotik UMNO bagi kumpulan Patriot 1, Nur Izati Md Nadzir.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Terengganu menzahirkan keterujaan apabila telah dipilih sebagai pelajar terbaik dan mengucapkan terima kasih di atas penganugerahan tersebut.

“Pertama sekali, saya terkejut dan rasa bercampur baur… sedih ada, gembira pun ada. Saya rasa Sekolah Patriotik ini mengajar saya banyak perkara. Saya pun tidak terjangka (terpilih) sebab di Sekolah Patriotik ini, ramai anak-anak muda yang berkebolehan.

“Walaupun mereka bukannya ada datang daripada ‘background’ UMNO, tapi semuanya layak (untuk terpilih). Apabila terpilih, saya rasa teruja dan bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan. Saya berterima kasih kepada pihak jawatankuasa Sekolah Patriotik yang telah memberikan anugerah ini kepada saya,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, banyak perkara telah dipelajari sepanjang empat bulan menyertai Sekolah Patriotik UMNO ini dan ia berjaya membuka minda beliau untuk menerajui kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Terengganu.

“Sepanjang empat bulan saya belajar di Sekolah Patriotik ini, banyak perkara terutamanya melibatkan subjek-subjek yang kita tidak pernah jumpa di zaman universiti… kita jumpa di sini. Walaupun kita datang daripada latar belakang UMNO, tapi masih ada benda yang kita tidak tahu.

“Sekolah Patriotik ini banyak mengajar dan membuka mata saya bahawa banyak lagi benda yang kita perlu tahu dalam politik dan silibus-silibus tersebut banyak membuka minda serta menjadikan saya lebih fokus untuk menerajui Puteri UMNO di Terengganu.

“Inisiatif UMNO menubuhkan Sekolah Patriotik ini adalah satu pelaburan yang besar sebenarnya. Kita sedar, anak muda sekarang ini ramai. Jadi, dengan Sekolah Patriotik UMNO ini, ia melahirkan lebih ramai anak muda yang berkepimpinan… melibatkan pelajar daripada pelbagai latar belakang seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pelajar universiti dan terbaru dalam kumpulan dua ada pelajar lepasan sekolah,” katanya lagi.

Menurutnya, Sekolah Patriotik UMNO ini juga mampu melahirkan anak-anak muda berjiwa besar dan ikhlas menggalas perjuangan parti pada masa akan datang.

“Sekolah Patriotik ini jika dimanfaatkan betul-betul oleh UMNO dan anak-anak muda, ia mampu membawa parti maju ke hadapan. Saya lihat kumpulan pertama, ada 48 orang pelajar manakala kumpulan kedua ada 62 orang. Mungkin kumpulan ketiga akan bertambah lagi penyertaan.

“Untuk adik-adik Sekolah Patriotik kumpulan-kumpulan yang akan datang, jangan takut untuk kita belajar sesuatu yang baharu. Walaupun kita dah ada jawatan dalam UMNO, kita masih lagi perlu belajar banyak perkara. Politik ini tidak statik, bergerak seiring dengan masa dan dinamik.

“Kepada anak-anak muda khususnya kumpulan kedua dan Insya-Allah akan datang kumpulan ketiga… jangan takut dengan Sekolah Patriotik ini. Masuk dan belajarlah kerana ilmu itu luas. Dalam sekolah politik ini, kita akan dapat kenal pelbagai ragam dan subjek. Insya-Allah kita juga akan diajar oleh cikgu-cikgu dan pensyarah yang sangat hebat,” katanya lagi.

Terdahulu, Nur Izati telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Sekolah Patriotik UMNO untuk kumpulan Patriot 1 ketika Majlis Konvokesyen sempena Sambutan Hari UMNO ke-79.

Untuk rekod, Sekolah Patriotik UMNO telah dilancarkan pada 26 Januari 2025 hasil ilham Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan direalisasikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan penuh komitmen.

Seramai 50 orang anak muda terpilih sebagai kumpulan Patriot 1 dan mereka telah menjalani pelbagai modul latihan intensif termasuk kuliah, latihan survival dan taktikal untuk membina kekuatan fizikal serta mental.

Untuk itu, seramai 48 orang pelajar Sekolah Patriotik UMNO dari kumpulan Patriot 1 akan menamatkan pengajian mereka pada 11 Mei sempena Hari UMNO ke-79 sebelum legasi perjuangan disambung oleh kumpulan Patriot 2. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79