Sekolah Patriotik UMNO: Lahirkan Pemimpin Masa Depan, Kukuhkan Ideologi Parti

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Buat julung-julung kali UMNO melaksanakan majlis graduasi Sekolah Patriotik UMNO, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali.

Ujarnya, ia adalah satu momen yang cukup signifikan kepada parti dalam membelah arus zaman.

“Sekolah Patriotik UMNO bukan sekadar ruang pembelajaran tetapi ia adalah medan membina jati diri, mencetak pemimpin dan menyambung nafas perjuangan.

“Dalam dunia yang kian keliru arah, sekolah ini menjadi tapak menyemai idealisme, membentuk watak dan melatih keberanian anak muda untuk memimpin.

“Inilah platform perkaderan UMNO yang melahirkan generasi berprinsip, berwibawa dan setia pada akar perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Seterusnya kata Zuhir lagi, UMNO perlu melahirkan pemimpin berkualiti bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi juga perlu didasari oleh nilai kepimpinan, keikhlasan berkhidmat dan keupayaan memahami denyut nadi rakyat.

“Jika kita mahu UMNO terus relevan esok, kita perlu bentuk pemimpinnya hari ini. Di sinilah ia bermula. Tanpa pelapis yang mantap, masa depan parti ini akan berdepan risiko kehilangan sokongan generasi baru.

“UMNO tidak boleh bergantung kepada retorik lama semata-mata, sebaliknya perlu berani beradaptasi dengan perubahan zaman tanpa menggadaikan prinsip asas perjuangan,” jelas beliau.

Sekolah politik adalah melahirkan pemimpin muda yang berprinsip, setia pada parti, berpengetahuan luas dan mampu berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Ia dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan asas parti dan melahirkan generasi pemimpin yang integriti serta dapat berdaya saing dalam lanskap politik negara.

Untuk rekod, UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei setelah ditubuhkan pada tahun 1946.

Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang melibatkan penyertaan 48 orang pelajar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79