PRN Sabah: BN Perhalusi Cadangan Bentuk ‘Grand Coalition’ PH-BN-GRS – Ahmad Zahid
KEPALA BATAS, 12 Mei – Barisan Nasional (BN) akan memperhalusi cadangan pembentukan gagasan mega atau grand coalition dengan Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu termasuk menyantuni sebarang perbezaan antara ketiga-tiga gabungan berkenaan.
“Terutamanya untuk memastikan kerusi-kerusi yang akan ditandingi tidak bertindih antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, hari ini.
Semalam, ketika berada di Tawau, Sabah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata, kerjasama antara PH, BN dan GRS pada PRN Sabah amat penting bagi menjamin kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.
Setakat ini, menurut Anwar, kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dan GRS masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan, manakala kenyataan berhubung kesepakatan PH, BN Sabah sebelum ini hanya di peringkat kedua-dua parti, belum melibatkan GRS.
Sabtu lepas, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan bersama mengesahkan kesepakatan PH dan BN untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah. – Bernama