UMNO Tetap Kukuh Walau Diuji Zaman, Terus Jadi Sandaran Rakyat – Johari Ghani
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Sempena ulang tahun ke-79 penubuhan UMNO hari ini, Naib Presiden parti, Datuk Seri Johari Ghani menegaskan bahawa UMNO tetap berdiri teguh meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak penubuhannya.
Menurut beliau, usia hampir lapan dekad menunjukkan ketahanan dan kecekalan parti dalam mengharungi liku-liku perjuangan politik tanah air.
“UMNO genap 79 tahun iaitu satu perjalanan panjang yang penuh cabaran dan liku sejarah. Dalam segala dugaan, UMNO kekal berdiri teguh, terus berpaut pada prinsip perjuangan yang tidak pernah luntur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Johari turut mengakui bahawa kekuatan UMNO mungkin tidak sekuat dahulu, namun pengaruh dan peranannya dalam pembangunan negara serta memperjuangkan nasib rakyat masih berterusan.
“Kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini membuktikan bahawa keyakinan rakyat masih hidup dan harapan masih disandarkan kepada parti ini,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru agar semua ahli UMNO mempertahankan warisan perjuangan yang telah dibina oleh generasi terdahulu, memperkukuh perpaduan dan menolak sebarang bentuk perpecahan yang boleh melemahkan asas perjuangan parti.
“UMNO adalah warisan perjuangan generasi terdahulu. Tanggungjawab kita kini adalah untuk mempertahankan warisan ini,” katanya lagi. – UMNO Online