UMNO Pragmatik Mendepani Dinamika Politik Hari Ini – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam meniti arus perubahan zaman yang kian mencabar, UMNO tidak boleh bersikap statik atau jumud.
Ujar Timbalan Perdana Menteri itu, UMNO mesti pragmatik dan tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan lapuk dalam mendepani kedinamikan landskap politik masa kini.
“Kita perlu berani menyesuaikan strategi, pendekatan, dan gerak kerja seiring dengan realiti politik baharu. Dua Pilihan Raya Umum (PRU) memperlihatkan keputusan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak dan telah menghadirkan situasi politik yang tergantung, seakan-akan menahan nafas negara di persimpangan.
“Namun, dengan jiwa yang besar dan tanggungjawab nasional yang tinggi, UMNO memilih langkah kenegaraan untuk bersama membentuk Kerajaan Perpaduan,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Hari UMNO Ke-79 dan Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ulasnya lagi, parti mengambil langkah tersebut bukan untuk mengejar kepentingan sempit tetapi demi agama, bangsa, rakyat dan kestabilan politik negara.
“Demi memastikan keindukan Islam terus terpelihara, hak serta kepentingan Melayu dan Bumiputera terus terbela, institusi Raja-raja Melayu terus didaulatkan dan bahasa Melayu terus dinobatkan. Dan lebih besar lagi demi menyelamatkan negara daripada belenggu krisis politik yang berpanjangan.
“Melepasi 30 bulan, ekonomi negara kembali bernafas segar, indeks pelaburan asing melonjak memberangsangkan, hubungan diplomatik Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa semakin erat, projek pembangunan rakyat kembali rancak, kos sara hidup diberi perhatian, bahkan imej Malaysia kembali pulih sebagai negara yang stabil, berdaya saing, dan dihormati,” katanya.
Justeru katanya, bersama-sama 18 parti lain di dalam kerajaan ini, UMNO mesti kuat dan mempunyai kesatuan yang kukuh serta berdiri sebagai Jurutera Perkongsian Kuasa dalam dinamika politik yang mendamba kestabilan.
Seterusnya, Ahmad Zahid berkata UMNO sentiasa mengamalkan politik kesederhanaan.
“1955, bersama MCA dan MIC kita telah membentuk Perikatan. Kesepakatan ini dipasak lagi kekuatan pada 1974 apabila kita sama-sama membentuk Barisan Nasional. Dalam kita terus mempertahankan prinsip parti, kita memupuk kepercayaan dan saling hormat-menghormati.
“Inilah DNA politik UMNO – politik kesederhanaan yang menolak ekstremisme, politik integrasi yang menolak retorik perkauman, politik kestabilan yang menolak perpecahan.
“Dalam dunia yang sarat dengan perpecahan dan prasangka, ketika ada pihak yang bersemangat meniupkan api ekstremisme di segenap lapisan, UMNO mesti teguh sebagai nakhoda politik kesederhanaan, kerana melaluinya UMNO akan kembali menjadi sandaran bukan hanya buat bangsa Melayu tetapi buat seluruh rakyat di negara ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu Ahmad Zahid juga tegas berpesan kepada kawan atau lawan jangan pernah meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan.
“Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati, akan menjulang menjadi bara; bila ia marak, panasnya tak tertahan, nyalanya tak terelak. Bimbang ia membakar semua.. tanpa memilih rupa dan badan,” pesannya. – UMNO ONLINE