Ulang Tahun UMNO Ke-79: Semarakkan Semangat Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 11 Mei – UMNO terus memperkukuhkan kekuatan akar umbi dengan menjadikan sambutan ulang tahun ke-79 sebagai medan penting untuk memperkasakannya.

Hari ini, UMNO meraikan ulang tahunnya dengan penuh semangat dan iltizam yang bukan sahaja mengadakan majlis tahlil untuk kepimpinan terdahulu tetapi juga meraikan graduasi generasi baharu pewaris perjuangan UMNO.  

Ulang tahun ini bukan saja mengenangkan sejarah perjuangan parti tetapi ia juga menjadi titik tolak untuk memperbaharui semangat akar umbi dan generasi baharu.

Menerusi tinjauan UMNO Online mendapati sambutan ulang tahun UMNO ini berlangsung lebih manis dengan penganjuran graduasi Sekolah Patriotik UMNO (Patriot 1) dan turut disertai oleh ibu bapa yang berbangga dengan pencapaian anak-anak mereka.

Kehadiran ibu bapa dalam acara graduasi ini menunjukkan sokongan penuh mereka terhadap pendidikan yang diterima oleh anak-anak mereka di Sekolah Patriotik UMNO.

Acara graduasi ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk memupuk semangat patriotik di kalangan generasi muda, sekaligus mengiktiraf pencapaian para pelajar yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalani program tersebut.

Graduasi tersebut melibatkan seramai 48 pelajar (Patriot 1) bagi sesi pertama dan 62 pelajar (Patriot 2) pada sesi kedua.

Setiap pelajar yang menyertai program ini telah melalui pelbagai modul yang dirancang khas untuk membentuk mereka menjadi individu yang berdisiplin, berwawasan dan berdaya saing.

Terdahulu, sebelum majlis ulang tahun UMNO dan graduasi Sekolah Patriotik telah diadakan majlis tahlil khas sempena hari UMNO dan Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi serta pejuang-pejuang parti yang telah meninggal dunia.

UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 kekal sebagai salah satu parti politik terbesar di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam pembentukan negara serta pembangunan rakyat.

Sambutan ulang tahun ini bukan sahaja menjadi medan memperkukuh saf kepimpinan tetapi juga platform untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap parti.

Ulang tahun ini bukan sahaja menjadi saat memperingati sejarah gemilang parti, tetapi juga detik untuk membina masa depan yang lebih kuat dan inklusif bersama generasi baharu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79