Ulang Tahun Ke-79: Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Tekad Perkukuh Perjuangan

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Tanggal 11 Mei 2025 menandakan ulang tahun ke-79 penubuhan UMNO, sebuah parti yang telah menjadi tulang belakang perjuangan kemerdekaan dan pembangunan negara sejak 1946.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam hantaran menerusi laman Facebooknya menyatakan bahawa UMNO kekal utuh kerana ia berakar di jiwa rakyat dan bernafas dalam denyut nadi perjuangan.

“79 tahun berlalu, UMNO terus gagah di medan waktu. Berakar di jiwa, bernafas di nadi, demi bangsa, agama dan bumi pertiwi.

“Selagi mentari terus menyinar, selagi rakyat perlukan pembela, UMNO takkan pernah goyah, kerana ini janji pejuang setia, Selamat ulang tahun UMNO yang ke-79 Tahun!”

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh menegaskan bahawa UMNO adalah milik semua ahli dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga serta mempertahankannya.

“UMNO ini milik kita semua. Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga dan mempertahankannya. Selamat ulang tahun yang ke-79 UMNO. Dulu,kini, insya-Allah selamanya.”

Berkaitan hal yang sama, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal menegaskan peranan wanita muda kini lebih penting dari sekadar pelapis, sebaliknya rakan strategik dalam memperkukuh parti.

Beliau menyeru agar suara Puteri diberi perhatian lebih serius oleh kepimpinan parti, mencerminkan realiti dan harapan generasi muda yang ingin melihat UMNO tampil lebih progresif dan berpandangan jauh.

“Moga ulang tahun ini menjadi detik kebangkitan untuk memperbaharui tekad dan memperkukuh kekuatan parti bersama generasi muda,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79