Ulang Tahun Ke-79, UMNO Terus Komited Perjuang Bangsa Dan Agama – Khaled

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Hari ini genap 79 tahun penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sebuah parti yang telah memainkan peranan besar dalam pembangunan negara dan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu serta agama Islam sejak tahun 1946.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan sempena ulang tahun tersebut berkata, sepanjang tempoh hampir lapan dekad itu, UMNO telah menabur bakti dalam pelbagai kapasiti untuk membangunkan negara.

“UMNO kekal sebagai sebuah parti yang menjuarai isu-isu berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam dalam apa jua jajaran politik yang dipilih,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menggadaikan prinsip dan nilai perjuangannya, malah terus berpegang kepada pendekatan kesederhanaan, menjauhi ekstremisme dan radikalisme.

“Walaupun UMNO hari ini mungkin tidak sekuat dan sehebat dahulu, ia tetap merupakan parti yang mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk terus menyumbang kepada bangsa dan negara,” ujarnya lagi.

Khaled turut mengingatkan bahawa usaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO bukan satu tugas mudah, sebaliknya memerlukan ketekunan, strategi dan kebijaksanaan semua ahli parti.

Beliau turut menyatakan rasa syukur atas kejayaan UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil yang lalu, yang menurutnya bukan semata-mata kerana jajaran politik semasa, tetapi hasil kerja keras dan usaha berterusan oleh ahli-ahli UMNO di semua peringkat.

“Pada kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun UMNO ke-79 kepada seluruh keluarga besar UMNO di mana sahaja anda berada. Terima kasih atas kesetiaan dan pengorbanan kepada parti, demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79