SPU Bukan Program Bermusim, Perintis Sistem Pendidikan Politik UMNO – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) bukan program yang bersifat bermusim sebaliknya sebagai sistem pendidikan politik yang konsisten, berstruktur dan dirancang untuk jangka panjang.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola SPU berkata ia akan dilaksana secara berterusan dalam melahirkan pemimpin berprinsip bagi mendukung perjuangan parti keramat ini.

“SPU mesti konsisten kita tidak mahu melahirkan pemimpin yang seperti lalang, kiri dan kanan bergantung kepada keadaan.

“Program ini sebahagian penting daripada gagasan UMNO untuk bergerak ke hadapan sebagai anjakan besar ke arah pembaharuan parti yang bukan hanya bertumpu kepada strategi pilihan raya, tetapi juga kekuatan akar umbi dan kualiti kepimpinan masa depan.

“la bukan sekadar program latihan, tetapi satu inisiatif penting dalam usaha membina pelapis pemimpin UMNO berdisiplin, berprinsip dan berjiwa besar malah yang paling penting melahirkan pemimpin yang bestari, berani dan berjuang.

“Kepada anakanda SPU, percayalah hari ini bukan pengakhiran tetapi permulaan kepada perjalanan perjuangan. Jadilah pemimpin yang berjiwa rakyat, berwibawa dan setia kepada asas perjuangan UMNO iaitu agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap bersempena Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO (SPU) yang diadakan di Dewan Tun Hussien Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kepimpinan lain.

Mengulas lanjut, beliau turut sama meluahkan kesyukuran dengan kejayaan kumpulan pertama SPU yang menyaksikan konvokesyen diadakan bersekali dengan sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 tahun.

“Majlis yang penuh bersejarah dan sarat makna apabila berlangsungnya Hari Konvokesyen Pertama SPU yang juga diraikan bersempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79.

“Hari ini kita meraikan kejayaan kumpulan pertama SPU, mereka ini telah menjalani pelbagai modul secara intensif dan membuktikan keupayaan sebagai pelapis harapan parti.

“Saya juga ingin maklumkan bahawa kumpulan kedua SPU yang terdiri daripada 62 orang peserta, juga telah pun memulakan pengajian mereka. Hari ini mereka turut hadir bersama untuk mendengar amanat Presiden UMNO sebagai sebahagian daripada modul wajib pengajian mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79