Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-79 Penuh Warna-Warni, Terjemahkan Iltizam Parti

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Sambutan ulang tahun UMNO ke-79 hari ini mencatat sejarahnya tersendiri apabila 48 pelajar Sekolah Patriotik UMNO menamatkan sesi pembelajaran masing-masing dan diraikan dalam majlis konvokesyen yang kali pertama diadakan.

Bermula awal pagi, para pelajar yang terlibat pada konvokesyen berkenan mula mendaftarkan diri masing-masing termasuklah ahli serta pendukung serta penyokong setia parti UMNO untuk sama-sama meraikan hari kelahiran parti berkenaan.

 

Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC) yang menjadi tempat acara sambutan ulang tahun serta majlis konvokesyen penuh sesak  dengan orang ramai yang ingin turut serta memeriahkan acara tersebut.

Tepat jam 10.20 pagi, perarakan masuk Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO ke dalam dewan dan seterusnya diadakan majlis tahlil khas sempena ulang tahun UMNO dan Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri kelima dan Presiden UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki memulakan ucapan dan seterusnya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO.

 

Kemuncak ucapan, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  mengambil tempat dan seterusnya melontarkan pelbagai amanat serta peringatan untuk ahli serta seluruh pimpinan yang lain sempena hari kelahiran UMNO ke-79.

Sejurus kemudian detik yang cukup bersejarah bagi parti berkenaan apabila pengisytiharan majlis penyampaian sijil konvokesyen kali pertama diumumkan dan disampaikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seiring dengan itu juga, turut diumumkan Alumni Sekolah Patriotik UMNO dan majlis berakhir dengan acara memotong pulut kuning sempena ulang tahun UMNO ke-79.

Kemeriahan serta suasana sambutan ulang tahun pada kali ini ternyata dipenuhi dengan pelbagai warna-warni dan apa yang pasti kehadiran ahli serta pelbagai pimponan malah pendokong serta penyokong seluruh negara ternyata cukup memeriahkan sambutan pada tahun ini.

Perjuangan UMNO sebagai payung kepada orang Melayu akan terus subur malah rata-rata raut wajah mereka yang datang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur  menterjemahkan segala-galanya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79