Hari UMNO Ke-79: Sekolah Patriotik Bukti Kesungguhan Babit Generasi Muda – SUA
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) sebagai manifestasi komitmen kepimpinan dalam mengangkat kesinambungan perjuangan UMNO membabitkan generasi muda sebagai pewaris parti keramat ini.
Beliau berkata menambahkan lagi kesungguhan apabila konvokesyen diadakan bersekali dengan sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-79.
“Julung-julung kalinya diadakan seperti ini, terutamanya dengan ulang tahun UMNO yang ke-79. Kita menyaksikan majlis konvokesyen buat pertama kali SPU.
“Sudah tentu ini merupakan satu cerminan dan manifestasi kesungguhan, iltizam dan komitmen penting barisan kepimpinan tertinggi khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Beliau yang begitu bersungguh-sungguh memastikan kesinambungan dan kader-kader parti ini benar-benar kita dapat lahirkan yang mempunyai jiwa, roh dan akal UMNO yang sebenar,” katanya.
Dr Asyraf berkata demikian ketika berucap sempena Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO (SPU) yang diadakan di Dewan Tun Hussien Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola SPU; Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan kepimpinan lain.
Mengulas lanjut, Dr Asyraf dalam pada itu berkata medium seumpama ini penting bagi memperkukuh idealisme dalam kalangan anak muda dan prinsip perjuangan parti keramat ini.
“Ini suatu yang amat mustahak untuk kita jiwai bukan saja di peringkat tertinggi tetapi juga di negeri dan bahagian-bahagian.
“Penerusan dan kelangsungan perjuangan UMNO yang tidak perlu saya ulas kerana semuanya amat memahami jasa dan sumbangan parti ini kepada pembinaan negara bangsa sebagaimana yang kita lihat pada hari ini.
“Namun perkara yang paling mustahak yang harus kita khuatir sekiranya tidak mampu meninggalkan pewaris-pewaris perjuangan yang mempunyai jiwa nurani yang kentang memahami asas-asas dan idealisme perjuangan UMNO yang sejati,” ujar beliau.
Untuk rekod sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 pada tahun ini menyaksikan kelainan tersendiri apabila buat julung kalinya diadakan serentak dengan Konvokesyen SPU.
SPU menyaksikan penglibatan 50 anak muda berusia antara 16 hingga 30 tahun, merangkumi lelaki dan perempuan, pelbagai latar belakang dari seluruh negara. – UMNO Online