Ahmad Zahid Bidas Pihak Yang Ghairah Tiup Sentimen Agama Dan Perkauman
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas pihak yang menghasut rakyat dengan naratif UMNO kini tunduk kepada Dap ekoran kerjasama bersama parti itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lalu.
Hakikatnya jelas Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), ia bukan persekongkolan eksklusif tetapi adalah keputusan kenegaraan di mana Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi BN, Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, bebas dan lain-lain sebagai kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan.
Justeru, Ahmad Zahid memberi peringatan kepada pihak yang ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman bahawa merekalah juga yang pernah bergandingan dengan Dap dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, hampir sedekad lamanya bersekongkol.
“Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama Dap demi menjatuhkan kita pada PRU yang lepas, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo Keadilan (PKR).
“UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat Dap. UMNO juga tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin Dap setinggi maqam Khalifah Umar Abdul Aziz.
“Malah ironi, ketika UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, tetapi berselindung di sebalik retorik agama. Inilah hipokrasi politik yang sebahagian daripada kita kadang-kadang mula termakan,” tegasnya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Hari UMNO Ke-79 dan Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru semua ahli parti berhenti menanam syak wasangka serta bangkit memperteguh kepercayaan di kalangan UMNO.
“Yakinlah, segala keputusan besar yang diambil bukan berdiri atas satu bahu semata-mata. Ia lahir daripada musyawarah secara kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini.
“Setiap keputusan pasti mendatangkan cabaran, pasti ada yang tercalar, pasti ada yang tercela tetapi percayalah, selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan yang diberikan, kami akan laksanakan,” katanya.
Dalam amanatnya, Ahmad Zahid juga menyentuh mengenai kemenangan BN di beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan ia boleh dilihat sebagai tanda-tanda kebangkitan semula parti.
“Allah SWT mengurniakan kita kemenangan di Nenggiri, Mahkota, dan terbaharu di Ayer Kuning. Kemenangan ini adalah milik seluruh jentera yang berjuang tanpa mengenal lelah.
“Namun ingatlah, kita tidak boleh leka dengan kemenangan kecil, kerana medan peperangan yang jauh lebih besar sedang menanti di hadapan. Kita mesti melangkah ke medan perang dengan naratif yang lebih segar, komunikasi yang lebih strategik, dan gerak kerja yang lebih tajam, lebih tuntas, malah lebih berani,” katanya.
Selepas ini ujarnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal membuka gelanggang disusuli bagi negeri Melaka dan Johor serta paling penting adalah PRU-16.
UMNO dan BN katanya mesti bergerak senada kerana di situlah kunci untuk mengembalikan sokongan rakyat semula serta jangan bersengketa, apatah lagi terbuai dalam jerat persepsi dan sentimen yang hanya melemahkan parti. – UMNO ONLINE