UMNO Terus Gagah, Perjuangkan Agama, Bangsa Dan Negara – Mohamad Fatmi
KOTA BHARU, 10 Mei – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh menzahirkan penghargaan sempena sambutan ulang tahun UMNO yang ke-79 dan menegaskan keperluan parti itu untuk terus menjadi teras pemerintahan negara.
Menurut beliau, UMNO bukan sahaja perlu kekal sebagai tonggak kerajaan, malah harus tampil lebih dominan dalam membentuk hala tuju negara pada masa hadapan.
“Saya mengucapkan selamat ulang tahun UMNO ke-79 dengan doa dan harapan agar parti ini bukan sahaja terus kekal memerintah, tetapi menjadi lebih dominan dalam kerajaan yang akan datang.
“UMNO akan terus bertambah gagah dan kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang, termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan seterusnya.
“Insya-Allah, UMNO akan dipelihara oleh Allah SWT agar terus menjadi parti yang membela serta memperjuangkan nasib rakyat dan orang Melayu, selain mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata UMNO sentiasa menunjukkan komitmen dalam memperkukuh kedudukan orang Melayu menerusi pelbagai inisiatif.
“Lihatlah usaha-usaha yang digerakkan oleh UMNO, khususnya dalam Kerajaan Perpaduan – termasuk memperkasakan Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan mempergiatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang hampir keseluruhan pesertanya terdiri daripada anak-anak Melayu.
“Semua ini adalah inisiatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, termasuk usaha mengubah tadika Kemas menjadi tadika Tahfiz.
“Bukankah semua ini demi kepentingan orang Melayu dan Islam? Itulah perjuangan UMNO yang tidak pernah menyimpang daripada matlamat asal – mempertahankan kepentingan orang Melayu,” tambahnya. – UMNO Online