UMNO Johor Tegas Perkukuh Perjuangan Sempena Ulang Tahun Ke-79
JOHOR BAHRU, 10 Mei – Sempena menyambut ulang tahun UMNO ke-79, UMNO Johor dengan penuh iltizam dan kesedaran mengakui bahawa perjuangan parti belum selesai.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangannya Md Israk Abdullah, menzahirkan sokongan padu kepada seruan Ketua Penerangan UMNO Malaysia agar parti terus berpaksikan kepada tiga prinsip utama – Disiplin, Akar Umbi dan Keupayaan untuk Berubah.
Menurut beliau, UMNO Johor berdiri teguh bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam melaksanakan agenda ‘Maju Johor’ yang bukan sahaja menyentuh aspek pentadbiran tetapi juga membawa nilai perjuangan yang segar dan realistik.
“UMNO Johor amat bersetuju bahawa disiplin adalah kekuatan sebenar parti. Di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, nilai disiplin telah diterjemahkan dalam setiap aspek pentadbiran dan pengurusan parti negeri. Gerak kerja UMNO Johor berjalan secara tersusun, matang, dan berprinsip. Ini mencerminkan maruah dan kesungguhan UMNO Johor terhadap perjuangan.
“Di peringkat akar umbi, persidangan cawangan dan bahagian dijalankan dengan tertib dan berhemah. Senario ini membuktikan bahawa budaya menghormati struktur parti masih subur.
“Disiplin inilah yang menjadi tulang belakang kepada kestabilan UMNO Johor dan menjadi asas kepada usaha menjayakan misi ‘Maju Johor’ seterusnya menjadikan Johor sebagai model kepimpinan dan pembangunan yang cekap, telus dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau juga menyeru seluruh keluarga UMNO Johor agar terus bersatu dan bergerak seiring kepimpinan pusat, menjadikan sambutan kali ini sebagai permulaan kepada transformasi parti yang lebih progresif dan diyakini rakyat.
“Kita tidak boleh hanya menjadi saksi sejarah, tetapi mesti menjadi penggerak masa depan,” tegas beliau.
Sambutan ulang tahun ini turut menjadi simbol iltizam UMNO Johor untuk terus berdiri sebagai benteng keyakinan rakyat dan menerajui perubahan demi masa depan negeri dan negara. – UMNO Online