Surat Terbuka Ketua Penerangan UMNO Malaysia Sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-79
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh
UMNO meraikan ulang tahun ke-79 ini bukan sekadar untuk mengingati sejarah. Ulang tahun ini adalah lambang kepada nilai kebijaksanaan, kesetiaan dan kecekalan UMNO menghadapi cabaran. UMNO masih berdiri hari ini bukanlah kerana nostalgia semata-mata, tetapi kerana rakyat masih melihat peranannya sebagai penjaga maruah agama dan bangsa, pengimbang kuasa dalam kerajaan, dan penentu arah masa depan negara.
UMNO bukan sebuah parti yang muncul akibat dendam atau kekecewaan. UMNO adalah institusi politik yang lahir daripada perjuangan bangsa. UMNO kekal utuh kerana menjunjung disiplin dalam kepimpinan, membina keyakinan bersama akar umbi, dan sentiasa menyambut perubahan dengan berani demi kelangsungan perjuangan.
DISIPLIN, AKAR UMBI DAN PERUBAHAN
Disiplin merupakan asas kekuatan UMNO. Ia membentuk cara kita memimpin, menyatukan ahli dalam perbezaan, dan memastikan parti sentiasa bergerak dengan tertib dan teratur. Disiplin bukan sekadar soal peraturan. Ia adalah cerminan maruah, kematangan dan komitmen kita terhadap perjuangan.
Musim persidangan cawangan yang sedang berlangsung telah membuktikan bahawa nilai ini terus subur dalam setiap lapisan kepimpinan dan keahlian UMNO. Ribuan mesyuarat telah berjalan dalam suasana harmoni tanpa kekecohan, pergaduhan ataupun kehilangan kawalan. Setiap usul dibahaskan dengan semangat kekeluargaan dan rasa hormat terhadap proses.
Lebih penting, kehadiran yang tinggi di seluruh negara menjadi petanda jelas bahawa UMNO terus diyakini oleh akar umbinya sebagai wadah utama perjuangan.
Disiplin yang sama terserlah dalam setiap medan pilihan raya yang kita tempuhi. Daripada Pelangai ke Nenggiri, Mahkota hingga Ayer Kuning, jentera UMNO sentiasa tampil dengan kesatuan dan ketertiban yang mengagumkan. Mereka hadir bukan sekadar sebagai sukarelawan, tetapi sebagai pejuang yang memahami amanah. Mereka berganding bahu, bergerak dengan semangat, dan menyempurnakan tugas tanpa menuntut balasan.
Budaya inilah yang membezakan UMNO daripada parti politik yang lain. Kita tidak berundur kerana kecewa. Kita tidak menghukum apabila tidak dipilih. Kita setia kerana percaya bahawa perjuangan itu lebih besar daripada individu.
Selagi disiplin ini menjadi teras, UMNO akan terus dipercayai. Bukan sahaja dalam kalangan ahli, tetapi dalam pandangan rakyat yang mendambakan kepimpinan yang bertanggungjawab, matang dan berwibawa
KEUPAYAAN UNTUK BERUBAH ADALAH KEKUATAN UMNO
UMNO kekal sebagai salah satu gerakan politik paling berpengaruh di negara ini kerana kita sentiasa bersedia membaca zaman dan mendahului perubahan. Keupayaan menyesuaikan diri, memperkukuh kekuatan, dan membina semula apabila perlu adalah kunci kepada kelangsungan kita. Dalam sejarah panjang perjuangan ini, UMNO telah membuktikan beberapa kali kesediaannya untuk membentuk kerjasama demi kestabilan negara, selagi asas dan prinsip perjuangan parti tidak dikorbankan.
Kita tidak sekadar mempertahankan legasi, tetapi sedang membina masa depan. Inisiatif seperti Sekolah Patriotik UMNO melahirkan generasi pelapis yang celik sejarah, mahir teknologi, dan memahami denyut nadi rakyat. Kita memperkukuh jentera digital, mengangkat suara akar umbi ke ruang maya, dan membentuk naratif yang lebih segar dan inklusif untuk mendekati generasi muda yang semakin kritikal dan berani bersuara.
Perubahan ini bukan bersifat kosmetik. Ia lahir daripada kesedaran bahawa UMNO mesti kekal sebagai parti yang bukan sahaja mewakili sejarah, tetapi juga memimpin masa hadapan.
UMNO sedang bergerak ke hadapan dengan tekad. Bukan untuk bertahan, tetapi untuk memimpin. Kerana hanya parti yang berani berubah akan kekal menjadi sandaran rakyat menghadapi cabaran yang semakin mencabar.
SERUAN UNTUK MELANGKAH BERSAMA
Kita tidak boleh terus melangkah dengan bayang-bayang semalam. Kita hanya akan mara jika kita menyusun langkah dengan yakin, memperkukuh saf dengan semangat kekeluargaan, dan menghidupkan semula iltizam asal perjuangan ini.
Saya menyeru seluruh keluarga besar UMNO untuk menjadikan ulang tahun ke-79 ini bukan sekadar detik peringatan, tetapi titik permulaan. Mari kita buktikan bahawa UMNO bukan satu peninggalan sejarah, tetapi peneraju masa depan negara.
Dengan disiplin sebagai asas, akar umbi sebagai kekuatan, dan keberanian untuk berubah sebagai senjata, UMNO akan terus berdiri sebagai benteng keyakinan bangsa.
Hidup UMNO. Hidup Melayu. Hidup Malaysia.
YB Dato’ Sri Azalina Othman Said
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
****************************