Mohd Sumali Harap Sambutan Hari UMNO ke-79 Berjalan Lancar, Harmoni
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berharap agar sambutan Hari UMNO ke-79 yang akan diadakan esok akan berjalan lancar dan harmoni.
Ketika ditemui UMNO Online, beliau memaklumkan bahawa majlis doa selamat dan tahlil ringkas juga akan menjadi salah satu daripada intipati Sambutan Hari UMNO tersebut.
“Baru selesai raptai sambutan Hari UMNO di Dewan Tun Hussein Onn dan alhamdulilah ini adalah sambutan untuk tahun yang ke-79. Sebelum ini kita adakan sambutan Hari UMNO ini secara bersederhana… kita buat di surau adakan bacaan yasin, tahlil dan sebagainya.
“Tapi pada kali ini kita buat di Dewan Tun Hussein Onn. Ada juga tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun tahun yang ke-79 ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa keistimewaan Hari UMNO ke-79 ini ialah Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO yang melibatkan 48 orang graduan.
“Paling menarik dan istimewanya pada kali ini ialah Sekolah Patriotik UMNO akan mengadakan konvokesyen melibatkan 48 orang pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka.
“Esok (Ahad) kita akan sambut Hari UMNO ini bersama konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO. Ini adalah kali pertama dan esok akan turut bersama kita adalah kumpulan kedua Sekolah Patriotik UMNO bersama ibu bapa mereka.
“Kehadiran ibu bapa mereka adalah untuk meraikan para pelajar Sekolah Patriotik UMNO disamping menyambut Hari UMNO ke-79. Insya-Allah, semoga majlis esok berjalan dengan aman, lancar dan harmoni,” katanya.
Untuk rekod, sambutan Hari UMNO akan diadakan setiap tahun pada tanggal 11 Mei bagi meraikan para pejuang parti dan mengenang segala pengorbanan serta perjuangan yang telah dibawa sejak ia ditubuhkan.
Menjangkau usia lapan dekad, UMNO masih mengekalkan kerelevanannya dengan mendekati anak muda untuk melahirkan pelapis kepimpinan melalui Sekolah Patriotik UMNO. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman