Hari UMNO ke-79: Sekolah Patriotik UMNO Anjakan Baharu Parti – Shahaniza

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Sekolah Patriotik UMNO merupakan satu anjakan dan titik permulaan baharu kepada UMNO sempena menyambut Ulang Tahun yang ke-79 pada 11 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sekolah Patriotik UMNO merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, ia adalah salah satu usaha untuk mengekalkan kerelevanan UMNO mengikut zaman.

“Saya rasa sangat terharu sebenarnya. Walaupun UMNO menghadapi pelbagai cabaran dan jatuh bangun… tetapi masih lagi bertahan sehingga dapat menyambut Hari Ulang Tahun ke-79.

“Lebih manisnya, pada hari ulang tahun ke-79 ini, kita dapat melakukan satu anjakan ataupun titik permulaan baharu kepada sejarah UMNO itu sendiri apabila berjaya melahirkan kumpulan pertama Sekolah Patriotik UMNO yang telah diilhamkan sendiri oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi, walaupun kita (UMNO) berumur 79 tahun… kita sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menjadikan UMNO relevan pada zamannya,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, lahirnya graduan daripada Sekolah Patriotik UMNO ini membuktikan bahawa parti masih mendapat sokongan anak muda dan masih relevan pada setiap peringkat umur.

“Kumpulan pertama yang lahir melalui Sekolah Patriotik UMNO ini, saya kira mereka adalah yang benar-benar sayangkan UMNO dan menjadi generasi baharu parti. Kalau orang kata UMNO sudah tidak relevan, tidak menarik minat orang muda.. graduan ini membuktikan sebaliknya.

“Mereka ini (graduan) telah menjalani kursus sepanjang empat bulan dengan penuh komited, dedikasi dan mereka menunjukkan minat yang sangat mendalam untuk meneruskan legasi perjuangan UMNO itu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun UMNO yang ke-79 kepada seluruh pendukung parti dan berharap agar para graduan Sekolah Patriotik UMNO akan mengamalkan segala ilmu yang telah dipelajari untuk menyambung legasi perjuangan.

“Saya ingin mengucapkan selamat Hari UMNO yang ke-79 kepada semua ahli, penyokong dan anak-anak UMNO. Yakinlah bahawa UMNO ini masih sama seperti yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita yang terdahulu. Kita adalah sebuah parti yang memang mengangkat dan memartabatkan agama, bangsa serta tanah air.

“Kepada anak-anak Sekolah Patriotik UMNO khususnya Patriot 1 yang berkonvokesyen esok, harapan saya amalkanlah ilmu yang telah diberikan dan jadilah perjuang serta orang parti yang sebenar. Insya-Allah, saya yakin dan percaya anda semua akan berjaya di dunia serta akhirat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Sekolah Patriotik UMNO telah dilancarkan pada 26 Januari 2025 hasil ilham Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan direalisasikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan penuh komitmen.

Seramai 50 orang anak muda terpilih sebagai kumpulan Patriot 1 dan mereka telah menjalani pelbagai modul latihan intensif termasuk kuliah, latihan survival dan taktikal untuk membina kekuatan fizikal serta mental.

Untuk itu, seramai 48 orang pelajar Sekolah Patriotik UMNO dari kumpulan Patriot 1 akan menamatkan pengajian mereka pada 11 Mei sempena Hari UMNO ke-79 sebelum legasi perjuangan disambung oleh kumpulan Patriot 2. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79