UMNO Kekal Komited, Tetap Teguh Pertahan Asas Perjuangan – Haryaty

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Haryaty Hamdzah menegaskan bahawa tuduhan kononnya UMNO telah lari dari perjuangan adalah tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, masyarakat seharusnya memahami kedudukan sebenar parti ini khususnya selepas kejatuhan UMNO/ Barisan Nasional(BN) pada tahun 2018.

“Saya tidak bersetuju dengan tuduhan bahawa UMNO telah lari daripada perjuangannya. Sebaliknya, kita perlu melihat kedudukan parti itu pada masa kini, pasca kejatuhan kerajaan BN pada tahun 2018.

“Realitinya, dominasi UMNO dalam kepimpinan kerajaan kini semakin mengecil dan tidak lagi seperti zaman ketika parti itu memerintah dahulu.”

“Menginjak usia ke 79 tahun, UMNO perlu menyediakan barisan pelapis yang berwibawa, bijak, berani dan memenuhi semua kriteria menjadi seorang pemimpin yang bertaraf antarabangsa dan persiapan perlu bermula sekarang,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Haryaty yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Melaka berkata penguasaan teknologi moden, termasuk teknologi kecerdasan (AI) adalah satu keperluan penting dan perlu dikuasai oleh akar umbi parti.

“Persaingan dan cabaran semasa semakin hebat, terutama dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI). Justeru, teknologi ini perlu dikuasai dan dimanfaatkan oleh ahli politik hingga ke peringkat akar umbi.

“Dalam masa yang sama, adab dan sopan anak Melayu perlu terus dipelihara agar kita kekal sebagai bangsa yang berjaya dengan identiti tersendiri – dulu, kini dan selamanya,” tambahnya lagi.

Haryaty, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, menjelaskan bahawa walaupun UMNO kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dengan ruang gerak yang terhad, parti itu tetap komited memberikan khidmat kepada rakyat.

“Kita perlu bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan dan meneruskan khidmat kepada rakyat dalam keterbatasan yang ada. UMNO tetap teguh dengan perjuangan berteraskan agama, bangsa dan negara. Kita tidak pernah menyimpang daripada prinsip ini.”

Dalam pada itu, beliau menyeru akar umbi serta pendukung parti agar terus setia dan menjaga parti seperti menjaga keluarga sendiri.

“Sayangi dan pelihara parti ini sebagaimana kita menyayangi diri dan keluarga kita. Kita adalah pewaris perjuangan generasi terdahulu. Kita adalah UMNO, dan UMNO adalah kita.

“Jadilah pemimpin yang disenangi rakyat, dihormati kawan dan digeruni lawan. Selamat menyambut Ulang Tahun UMNO ke-79,” katanya. – UMNO Online 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79