Pendidikan Teras Masa Depan, Mohd Zaidy Rai Pelajar Cemerlang
JEMPOL, 9 Mei – Pendidikan terus menjadi asas utama dalam pembangunan masyarakat apabila seramai 31 pelajar cemerlang SPM 2024 dari DUN Jeram Padang diraikan dalam satu majlis penyampaian sumbangan dan sijil penghargaan yang berlangsung dengan penuh makna hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, antaranya 2 pelajar dengan 11A, 2 pelajar 10A, seorang pelajar 9A, dan seorang pelajar Orang Asli dari Kampung Panchor yang membanggakan dengan pencapaian 8A.
Menurut Mohd Zaidy, kejayaan pelajar ini membuktikan bahawa usaha gigih, disiplin, dan keazaman tinggi mampu mengubah masa depan.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci utama kepada kemajuan komuniti, dan DUN Jeram Padang akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan sektor pendidikan.
“Ini bukan sahaja kejayaan pelajar, tetapi juga hasil doa, sokongan ibu bapa serta bimbingan berterusan para guru. Kita mahu pendidikan terus menjadi pemangkin untuk membina generasi yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berakhlak dan berbakti,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, majlis ini turut memberi suntikan semangat kepada masyarakat setempat agar terus menjadikan pendidikan sebagai asas pembinaan masa depan yang lebih baik malah mengangkat mesej bahawa kejayaan bukan hanya milik segelintir, tetapi mampu dicapai oleh semua yang berusaha tanpa jemu.
“Tahniah diucapkan kepada semua pelajar, ibu bapa dan para pendidik atas kejayaan yang membanggakan. Semoga kecemerlangan ini menjadi inspirasi dan pemangkin untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dari Jeram Padang pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online