Majlis Sosial Negara Tangani Isu Sosial Secara Bersepadu – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen Kerajaan untuk menangani isu-isu sosial dan ekonomi yang boleh mengancam keharmonian serta masa depan negara secara menyeluruh.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bil. 1 Tahun 2025, beliau memaklumkan bahawa beberapa keputusan penting telah dicapai, termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menyelaras pendidikan prasekolah Islam.

Ujarnya, usaha ini bertujuan memastikan penyampaian pendidikan awal kanak-kanak menjadi lebih tersusun, berkualiti dan selamat.

“Kita mahu anak-anak mendapat asas yang kukuh bukan sahaja dalam ilmu, tetapi juga dalam nilai dan akhlak.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan task force untuk menangani kebejatan sosial dalam kalangan pelajar tercicir termasuk penyalahgunaan dadah dan cabaran sosial lain agar tiada generasi muda kita tercicir daripada arus kemajuan.

“Bagi 560 kanak-kanak di bawah jagaan GISB Holdings yang telah diselamatkan, Kerajaan akan memperkukuh perlindungan mereka secara bersepadu. RM1.2 juta telah diperuntukkan untuk membantu pemulihan rohani, pembangunan jati diri dan advokasi keibubapaan demi memastikan masa depan mereka lebih terjamin,” katanya.

Maklum beliau, kerajaan juga bersetuju membangunkan sistem penjagaan jangka panjang untuk warga emas sebagai persediaan menghadapi status Malaysia sebagai negara menua menjelang tahun 2030.

Menurutnya, langkah ini penting untuk menghormati martabat warga emas dan memastikan sistem sokongan sosial negara kekal mampan.

Zahid turut menekankan bahawa kejayaan pelan-pelan ini memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat sivil,
sejajar dengan pendekatan whole-of-nation.

“Insya-Allah, dengan iltizam bersama, kita mampu membina negara yang lebih sejahtera untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79