Komitmen Pemuda UMNO Teruskan Perjuangan Bangsa, Agama, dan Tanah Air – Exco
KUALA LUMPUR, 9 Mei – EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi, menyatakan keyakinan penuh bahawa parti UMNO akan terus berjuang dan berbakti dalam apa jua keadaan, meskipun diuji dan dicemuh.
Menurut beliau, selama 79 tahun perjuangannya, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, malah ia adalah rumah bagi orang Melayu untuk mencari kekuatan, menyandarkan harapan, dan tempat untuk belajar erti perjuangan yang tidak pernah padam.
“Lihatlah apa yang telah UMNO lakukan. Menolak penjajahan, membawa kemerdekaan, membina dasar-dasar ekonomi, membangunkan infrastruktur, membela luar bandar, dan banyak lagi, sehingga negara ini berdiri megah di pentas dunia,” katanya.
Beliau menambah, “UMNO mungkin tidak sempurna, tetapi UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan prinsipnya. Sebagai EXCO Pemuda UMNO Malaysia, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk melihat sejarah dengan jujur dan menilai perjuangan ini dengan hati yang terbuka. Nilailah daripada kaca mata anak merdeka.”
Mohamad Aliff seterusnya menegaskan bahawa sejarah perjuangan UMNO akan terus diteruskan dengan sebaiknya. Sebagai generasi penyambung perjuangan, beliau berikrar bahawa langkah tersebut akan diteruskan dengan penuh komitmen.
“UMNO tidak pernah berhenti memberi. Maka tibalah masanya untuk kita, anak muda, menghargai segala pemberian ini, bukan sekadar dengan kata-kata tetapi dengan tindakan,” tambah beliau.
“Kita wajib menyambung, menyemai, dan menyuburkan kembali benih perjuangan ini demi memastikan apa yang telah diperjuangkan tidak gugur di tengah jalan, sebaliknya terus hidup untuk masa depan yang lebih terjamin dan gemilang. Kami tetap di sini, dan kami tetap bersama. Semoga perjuangan membela agama, bangsa, dan tanah air terus teguh,” ujar beliau. – UMNO Online