UMNO Umpama Harimau Terluka Yang Akan Bangkit Lebih Garang – Manndzri

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menyifatkan sejarah perjuangan UMNO sebagai warisan keramat yang wajib dipertahankan oleh seluruh ahlinya.

Katanya, ahli parti perlu memperkukuh semangat juang dan memperteguhkan kesatuan UMNO yang kini berada dalam fasa kebangkitan.

“Ahli UMNO kena lebih kuat, bersemangat malah lebih utuh dan parti ini ibarat ‘harimau yang terluka’ dan boleh bangkit dengan lebih garang’

“Ulang tahun UMNO yang ke-79 sememangnya jiwa lebih kental dan yakin dengan kebangkitan parti agar dapat beri kesan motivasi secara tidak langsung kepada ahli keseluruhannya. 

“Saya yakin suatu hari Allah SWT akan angkat balik maruah dan memberikan keyakinan kepada rakyat dan parti ini. Yang penting adalah daripada atas ke bawah begitu juga dari bawah ke atas dalam mana-mana kedudukan dalam parti ini mestilah bersatu hati, bekerja berpadu dengan yakin dan serahkan banyak hal pada Allah SWT … mudah- mudahan parti ini akan bangkit kembali,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara berharap akar umbi parti terus kuat dan bersemangat dalam apa jua rintangan.

“Sempena ulang tahun UMNO ke-79, kita kena terus tegar dan kukuh pendirian, beri kepercayaan pada pucuk pimpinan terutamanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin-pemimpin parti dan inilah saat yang paling getir.

“UMNO telah menunjukkan wibawa secara bersungguh-sungguh dan penuh berdedikasi dari kalangan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN. Sememangnya parti ini yang mampu bersama-sama dengan rakyat memimpin perubahan negara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Risda menegaskan bahawa walaupun UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 30 kerusi Parlimen dan menjadi parti kedua terbesar dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, namun tetap memainkan peranan penting signifikan dalam pentadbiran negara.

Ujarnya, pemimpin UMNO/BN jauh berbeza dengan pembangkang yang sering menggambarkan diri mereka sebagai ‘paling bijak dan pandai’, namun gagal membawa perubahan yang bermakna kepada rakyat.

“Pembangkang hanya menjadi umpama pasukan ‘masuk bakul angkat sendiri’ kerana ia sentiasa mengatakan bahawa ianya paling pandai, bijak walhal dengan segala cabaran dan global domestik yang ada.

“Mereka tidak diberikan taufik dan hidayah maka akhirnya mereka kekal menjadi pembangkang tetapi tidak menjadi pembangkang yang diharapkan.

“UMNO/BN menjadi ketumbukan dalam kerajaan yang kompeten, dedikasi dan berjasa kepada masyarakat Malaysia,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh kestabilan politik dan pembangunan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79