UMNO 79 Tahun: Warisan Perjuangan, Tunjang Kemajuan Negara

UMNO mencapai usia genap 79 tahun pada 11 Mei ini. Parti ini bukan sekadar gerak kerja politik tetapi ia adalah tunjang kepada terbentuknya Malaysia yang merdeka, aman dan membangun seperti yang kita nikmati hari ini. Selama 79 tahun sejak ditubuhkan, UMNO bukan sahaja bertahan malah terus menjadi benteng utama perjuangan rakyat, walau dihentam dengan pelbagai cabaran, fitnah dan tekanan dari luar mahupun dalam.

Jasa UMNO terlalu besar untuk dinafikan, bukan hanya melibatkan golongan Melayu/Bumiputera tetapi seluruh warga Malaysia keseluruhan. Dari mempelopori perjuangan kemerdekaan, memerdekakan tanah air daripada penjajah, hinggalah membina struktur pentadbiran dan pembangunan negara, ternyata UMNO sentiasa berada di barisan hadapan.

Bidang apa sahaja yang ada dalam negara hari ini – pendidikan, kesihatan, ekonomi, pertanian, perumahan, keselamatan, malah perpaduan rakyat – semuanya diletakkan asasnya oleh kepimpinan UMNO yang berpandangan jauh.

Rakyat Malaysia sebenarnya terhutang budi dengan perjuangan UMNO. Kemudahan yang dinikmati hari ini, kestabilan yang dikecapi, peluang-peluang yang terbuka luas – semuanya adalah hasil keberanian dan kesungguhan perjuangan parti ini sejak awal.

Namun, jalan perjuangan tidak pernah mudah. UMNO sering dijadikan sasaran. Kepimpinan UMNO seringkali menjadi sasaran dalam serangan pihak lawan, lihatlah sejarah bagaimana tuduhan demi tuduhan dilemparkan yang akhirnya ada juga terpalit dengan dakwaan palsu. UMNO difitnah, dicemuh, dilabel dengan pelbagai kata-kata nista namun itulah lumrah yang dilalui selama ini.

Betapa pun, UMNO tidak pernah goyah kerana kekuatan sebenar UMNO bukan hanya pada nama, tetapi pada perpaduan dan kesetiaan ahlinya yang berjuang tanpa henti.

Sungguh, rentetan perjuangan UMNO melewati rencam yang pelbagai, dari penubuhannya, mengusir penjajah, keluar dari arus kemiskinan, pembangunan dan pemodenan hinggakan puncak kuasa berada di tangan UMNO.

Bak putaran roda… kemudiannya UMNO di bawah, hilang kuasa dan kedudukan malah ada juga yang meninggalkan lantaran UMNO bergelar pembangkang. Sungguh lelah tapi tidak sesekali alah kerana darah perjuangan biarpun patah sayap, bertongkat paruh tetap diteruskan.

UMNO memiliki organisasi yang mantap, akar umbi parti adalah sokongan yang kuat dan semangat juang yang tidak mudah luntur. Parti ini telah membuktikan bahawa ia bukan hanya untuk satu kaum, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia – berteraskan kestabilan, kemajuan dan masa depan negara maka payung perjuangan dikembangkan kembali agar bersemarak menjadi teduh ke segenap penjuru negara.

Sejarah tidak pernah menipu. UMNO telah membina asas yang kukuh untuk Malaysia berdiri megah. Maka, hargailah apa yang telah terbina. Hargai asas perjuangan ini. Jangan mudah terpedaya dengan retorik yang mahu meruntuhkan legasi yang kini menjadi warisan untuk sama-sama kita hayati.

UMNO akan terus berkhidmat selagi ada semangat, selagi ada rakyat yang percaya pada perjuangan tulen – UMNO akan terus mara demi agama, bangsa dan tanah air tercinta – dulu, kini dan selamanya… insya-Allah!

Selamat Ulang Tahun UMNO ke-79


TAN SRI ABDUL AZIZ ABDUL RAHMAN
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK)

**********************************************

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79