UMNO 79 Tahun: Terus Kukuh Dan Relevan, Realitikan Sekolah Patriotik Malaysia – Norshida
JOHOR BAHRU, 8 Mei — Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim menyatakan bahawa UMNO terus membuktikan relevansinya dalam landskap politik Malaysia meskipun sudah hampir 79 tahun penubuhannya.
Menurut beliau, UMNO bukan sahaja memperingati ulang tahun ke-79 penubuhannya, malah mengambil langkah proaktif apabila bakal mengadakan konvokesyen pertama Sekolah Patriotik Malaysia iaitu satu inisiatif penting ke arah membentuk generasi muda yang lebih cinta dan bertanggungjawab terhadap negara.
“Dengan pengalaman dan warisan yang kaya, UMNO kekal sebagai antara organisasi paling berpengaruh dalam sejarah politik tanah air. Ini bukan sekadar peringatan terhadap pencapaian lalu, tetapi bukti komitmen terhadap masa depan,” ujarnya.
Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat memaklumkan pelancaran Sekolah Patriotik Malaysia dilihat sebagai satu langkah strategik untuk menanam semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, sekaligus memastikan kesinambungan nilai-nilai kebangsaan dalam pembangunan negara.
“Ini adalah penzahiran terhadap kepimpinan UMNO yang dipimpin oleh Presidennya merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam menerajui keupayaan parti dan menyelesaikan isu-isu semasa, termasuk berkaitan ekonomi, keselamatan, serta perpaduan kaum.”
Ujarnya, UMNO turut menekankan kepentingan perpaduan rakyat Malaysia melalui pelbagai program dan majlis, yang menjadi asas kepada pembangunan sebuah negara yang harmoni dan berdaya saing.
“UMNO tetap berperanan aktif dalam menangani cabaran semasa dan sentiasa berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan. Inilah bukti bahawa UMNO masih relevan dan akan terus berjuang demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi.
Dilaporkan sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 pada tahun ini bakal diserikan dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang akan melibatkan penyertaan seramai 48 orang pelajar pada 11 Mei ini. – UMNO Online