Sidang Kemuncak ASEAN: Kesiapsiagaan Agensi Terlibat Tinggi – Mohamad

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan keyakinannya terhadap tahap kesiapsiagaan tinggi semua agensi keselamatan negara menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya memastikan kelancaran penganjuran sidang kemuncak yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) demi menjaga nama baik negara.

“Setakat hari ini saya berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan. Bagaimanapun jangan ambil mudah (mengenai aspek keselamatan). Ia macam main bola (sepak) setiap permaianan itu berlainan. Jangan ingat pernah menjadi tuan rumah dan sudah biasa seperti pada 2015.

“Keadaan kini tidak berjalan seperti biasa. Keadaan dunia sekarang pelbagai-bagai. Jangan pandang enteng aspek keselamatan,” katanya pada majlis penutup Latih Amal Keselamatan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di KLCC di sini pada Rabu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Sementara itu Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri berkata, latih amal yang diadakan bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan agensi-agensi keselamatan negara berada pada tahap tertinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan krisis terutama sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Dalam satu kenyataan, MKN berkata, sebanyak 26 entiti kerajaan merangkumi kementerian, jabatan dan agensi termasuk rakan strategik iaitu Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Sapura Research Sdn Bhd terlibat secara langsung dalam latihan yang menguji Pelan Tindakan Kecemasan (ERP), keberkesanan komunikasi, koordinasi serta keselarasan tindak balas antara agensi.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Januari 2025 daripada Laos dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”,yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79