Perkasakan UMNO, Jangan Jadikan Ulang Tahun Sekadar Sambutan – MKT UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berharap agar sambutan ulang tahun UMNO yang diraikan saban tahun tidak sekadar menjadi acara simbolik semata-mata.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sambutan tersebut harus menjadi pencetus semangat bagi mengukuhkan lagi perjuangan parti serta meningkatkan daya juang dalam kalangan ahli dan kepimpinan di semua peringkat.

“Apatah lagi dengan senario semasa pasca PRU14 pada tahun 2018 yang menyaksikan UMNO tidak lagi menjadi parti utama yang menerajui pemerintahan negara. Keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum yang lalu seharusnya dijadikan landasan untuk bangkit dengan lebih gagah dan tersusun.

“Pelbagai cabaran dan onak duri perlu kita tempuhi secara bersama sebagai satu pasukan yang utuh demi memperkasa parti di semua peringkat kepimpinan,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Tambah beliau, perjuangan UMNO yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu perlu terus disemarakkan demi kepentingan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, yang menjadi teras perjuangan parti sejak awal penubuhannya.

“Ahli dan pimpinan UMNO perlu menjadikan ulang tahun ini sebagai pemangkin untuk memperkukuh sokongan rakyat terhadap parti. Kita tidak boleh leka dengan kedudukan semasa dalam Kerajaan Perpaduan. Ingatlah bagaimana kedudukan UMNO selepas PRU14 — biarlah ulang tahun kali ini menjadi pembakar semangat untuk terus mara ke hadapan,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengajak seluruh ahli parti untuk berganding bahu dan bergerak dalam satu barisan kepimpinan demi memastikan perjuangan UMNO yang sinonim dengan slogan ‘Dulu, Kini dan Selamanya’ terus terpahat di hati rakyat. – UMNO Online 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79