Pelbagai Inisiatif Diusaha UMNO Demi Rakyat, Martabat Agama, Bangsa Dan Negara – Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menegaskan UMNO sentiasa memainkan peranan penting dalam kerajaan hari ini dan tidak pernah berdiam diri untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.

Menurutnya, antara inisiatif utama yang diperjuangkan oleh UMNO termasuk memperkukuhkan institusi-institusi penting yang menjadi tonggak utama pembangunan sosioekonomi negara.

“Pelbagai inisiatif penting yang diperjuangkan UMNO termasuk memperkukuh institusi pendidikan dan ekonomi Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“UMNO tetap mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta memperkasa institusi keagamaan di negeri dan peringkat Persekutuan.

“Dalam masa yang sama juga UMNO juga terus memperjuangkan pembangunan luar bandar agar masyarakat Melayu tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut Hasmuni yang juga Pengerusi KEDA Holdings berkata, dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar, semangat perjuangan parti tetap kukuh.

“Segala langkah ini membuktikan bahawa walaupun dalam landskap baharu, roh perjuangan UMNO tetap kekal membara.

“Kita mungkin bergerak dalam suasana baharu, tetapi hala tuju kita tetap sama iaitu memartabatkan bangsa, menjulang agama, dan mempertahankan tanah air,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, UMNO terus berpegang prinsip perjuangan asal yang telah lama membentuk identiti perjuangan parti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79