Menjelang 11 Mei, Masa Terbaik Ingat Sejarah UMNO – Sharif Musa
LAHAD DATU, 8 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul mempersoalkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan pembubaran UMNO, sambil mengingatkan bekas Perdana Menteri itu tentang sejarah perjuangan parti keramat Melayu tersebut.
Ujarnya, menjelangnya ulang tahun UMNO ke-79 pada 11 Mei ini maka ia adalah ruang terbaik bagi mengingat kembali detik-detik penting sejarah penubuhan UMNO, bermula dengan penentangan terhadap Malayan Union oleh 41 pertubuhan Melayu di seluruh negara pada tahun 1946.
“Tan Sri Muhyiddin sanggupkah mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu yang bangkit menentang usaha British untuk menghapuskan hak Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu?” soal beliau.
Sharif Musa turut mengimbau detik penubuhan UMNO pada Kongres Melayu di Istana Besar, Johor Bahru pada 11-12 Mei 1946, dan bagaimana kekuatan parti berkembang dari peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan selepas tahun 1949.
Selain itu, beliau turut menyebut tarikh-tarikh penting lain termasuk penggunaan slogan ‘Merdeka’ dalam Persidangan Agung UMNO pada Mac 1951, serta penerimaan Kertas Putih sebagai asas Perlembagaan Tanah Melayu pada 30 Jun 1957.
“Kemerdekaan negara yang kita kecapi pada 31 Ogos 1957 adalah hasil perjuangan UMNO. Jangan sesekali dilupakan dan jangan sewenang-wenangnya mahu mencadang untuk membubarkan UMNO begitu sahaja sedangkan mereka yang mengkhianati parti ini,” katanya.
Sharif Musa juga menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai parti yang menyatukan bangsa Melayu dan memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara serta prinsip keadilan sosial termasuk menjadi penaung kepada keseluruhan rakyat yang pelbagai kaum dan agama.
“UMNO adalah antara parti demokratik tertua dalam kalangan negara membangun dan tetap dihormati kerana prinsip perjuangannya.
“Lihatlah pada sejarah sepanjang penubuhan parti ini dan ketika berada di puncak kuasa bersama Kerajaan Barisan Nasional (BN), UMNO adil dan saksama malah menghormati kepelbagaian yang ada dalam negara serta menyemai perpaduan hinggakan Malaysia gemilang di persada antarabangsa.”
Justeru beliau mempersoalkan niat Muhyiddin.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin suruh UMNO bubar? Allahuakbar… bukankah lebih baik jika PPBM yang bubar dan kembali kepada UMNO selaku parti teras perjuangan,” katanya lagi. – UMNO Online