Kerajaan Bakal Anjur HBN, Iktiraf Peranan Belia Dalam Pembangunan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kerajaan bakal menganjurkan Hari Belia Negara (HBN) yang merupakan salah satu daripada program utama untuk mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat JKPB yang memberi fokus kepada pelaksanaan program untuk golongan belia.

“Senario semasa pembangunan belia di peringkat global dan Commonwealth dilaporkan melalui Global Youth Development Indeks untuk memastikan kualiti dan kesejahteraan hidup belia terus dipertingkatkan. Berdasarkan Global Youth Development Index (GYDI), Malaysia menduduki tangga ke-35 daripada 183 negara pada tahun 2023 berbanding tangga ke-50 daripada 181 negara pada tahun 2020

“Di peringkat ASEAN pula, Malaysia menduduki tangga ke-2 daripada 10 negara pada tahun 2022 berbanding tangga ke-3 daripada 10 negara pada tahun 2016. Pencapaian ini menunjukkan impak positif ke atas pelbagai usaha yang telah dilaksanakan merentas kumpulan pelaksana pembangunan belia di Malaysia.

“Untuk terus meningkatkan potensi belia negara, saya telah mempengerusikan Mesyuarat JKPB Bilangan 1/2025 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada hari ini yang memberi fokus kepada pelaksanaan program untuk golongan belia melalui platform Rakan Muda dengan kerjasama semua Kementerian/Jabatan dan Agensi,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa Sambutan HBN akan dilaksanakan melalui tiga peringkat bermula pada 15 Mei sehingga 15 Jun tahun ini.

“Mesyuarat kali ini turut bersetuju dengan pelaksanaan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 di mana sambutan ini merupakan salah satu program utama kerajaan untuk mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara. HBN 2025 akan dilaksanakan melalui tiga peringkat.

“Pertama, Semarak HBN Peringkat Daerah pada 15 Mei 2025 diikuti Sambutan HBN Peringkat Negeri pada 17 dan 18 Mei 202 dan Sambutan HBN Peringkat Kebangsaan pada 13 sehingga 15 Jun 2025 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri. Keputusan ini berlandaskan laporan pada tahun 2024 yang menunjukkan seramai 2.2 juta belia telah menyertai program Rakan Muda secara fizikal dengan lebih 317,000 belia telah menyertai program secara dalam talian.

“Statistik ini memperlihatkan bahawa program Rakan Muda telah memberi impak positif kepada belia dan wajar untuk aktiviti seumpama ini terus diperkasakan. Sehingga April 2025 dilaporkan sebanyak 119 Sekretariat Rakan Muda IPT telah ditubuhkan dan bergerak aktif. Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2024 hanya terdapat 89 Sekretariat Rakan Muda IPT,” katanya lagi.

Menurutnya, KBS akan memperkukuh kolaborasi strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui pelaksanaan program pencegahan dan intervensi awal yang lebih berfokus.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai urus setia mesyuarat JKPB telah memainkan peranan aktif sebagai penyelaras dan advokasi dengan membentangkan mengenai masalah sosial belia yang memerlukan perhatian serta kerjasama merentasi pelbagai Kementerian.

“Sebagai langkah pertama, KBS akan memperkukuh kolaborasi strategik bersama AADK melalui pelaksanaan program pencegahan dan intervensi awal yang lebih berfokus.

“Selain itu, saya turut menekankan keperluan untuk kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak terhadap usaha Kerajaan Madani bagi memacu kesejahteraan serta pembangunan belia. Ini adalah selari dengan Model Pembangunan Belia Madani 2030 dan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berharap agar segala usaha tersebut mampu untuk mencorak golongan belia sebagai ejen perubahan dan pemimpin masa depan negara.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan ekosistem yang menyokong, inklusif dan memberdayakan belia ke arah masa depan lebih gemilang.

“Bersama, kita realisasikan aspirasi Malaysia Madani dengan mewujudkan sebuah negara yang progresif, sejahtera dan didukung oleh belia yang berwibawa serta berintegriti,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79